MALEK (kanan) menunjukkan produk keluaran Muslim pada Program Kasih Prihatin oleh Nurclicx.com di Taman Sri Gombak.
MALEK (kanan) menunjukkan produk keluaran Muslim pada Program Kasih Prihatin oleh Nurclicx.com di Taman Sri Gombak.
Murnaena Muhammad Nasir


NURCLICX Sdn Bhd bakal mewujudkan platform beli-belah digital dalam masa kurang dua bulan lagi bagi membangunkan usahawan Bumiputera Muslim memasarkan produk selari dengan arus modenisasi.

Pengasasnya, Datuk Malek Noor berkata, platform Nurclicx.com yang bakal memudahkan pengguna mendapatkan produk dijamin halal itu ditubuhkan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (Perapim).

"Isu kartel yang melanda negara menjadi pencetus idea platform ini dibangunkan bagi memperjuangkan makanan halal bermutu tinggi.

"Selain pengumpulan produk halal di dalam satu platform digital, kami turut menyediakan latihan perniagaan bagi membimbing usahawan mengeluarkan produk yang bermutu tinggi," katanya ketika Program Kasih Prihatin di Perapim Halal Mart, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Hijrah Group, Mohamad M Said dan Imam Muda Hassan selaku ikon Nurclicx.com.

Turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perapim Halal Mart dan pemberian sumbangan bakul makanan asas yang berasaskan produk halal Bumiputera kepada Maahad Tahfiz Al Fadilah (Mataf), Pertubuhan Amal Sejagat Malaysia, Pertubuhan Penduduk Taman Pinggiran dan Pertubuhan Ikram Cawangan Batu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nurclicx.com, Mohamad Nizam berkata, 214 kilang pengeluar produk halal Bumiputera sudah berdaftar di bawah platform ini.

"Setakat ini sudah 70 peratus siap dan kami menjangkakan ia mula diperkenal Mac depan. Antara produknya termasuk minyak masak, gula, garam, makanan sejuk beku dan beberapa makanan keperluan asas lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:20 AM