ZAHID
Syanty Octavia Amry


Hampir empat tahun bergelar penyampai radio Era FM, Zahid mengakui ada peminat yang memanggilnya dengan gelaran Zahid Era.

Bagi Zahid, pengalaman bekerja di sana memberi impak yang cukup besar tidak hanya pada peminat, malah dirinya sendiri.

Oleh itu, bagi mengubat rindunya terhadap penyiaran radio, Zahid kini aktif bersiaran di radio Internet Raku.

“Sudah enam bulan saya menjadi penyampai radio di sana. Walaupun sudah dua tahun saya meninggalkan Era FM, memang rindu untuk bersiaran di radio.

“Apabila diberi peluang rasa sangat teruja walaupun sekadar radio Internet. Saya berharap selepas ini berpeluang sekali lagi untuk menjadi penyampai radio di mana-mana stesen utama,” katanya.

Zahid berkata, walaupun bermula sebagai penyanyi, dia tidak kisah kerana yakin dengan setiap rezeki yang datang.

Malah, dia sudah biasa menerima keadaan apabila lagunya tidak dimainkan di stesen radio lain jika fokus sebagai penyampai radio di satu stesen tertentu.

“Saya terima apa saja tawaran yang datang. Menyanyi dan penyampai radio adalah dua bidang yang menjadi kerjaya saya.

“Saya sedar apabila berada di satu-satu stesen agak sukar lagu kita dimainkan di stesen radio lain. Saya terima keadaan itu dan sekurang-kurangnya dapat mainkan lagu saya di stesen radio yang dikendalikan,” katanya.

Mengulas perkembangan nyanyian, Zahid sedang giat mempromosikan single terbarunya berjudul Lupakan.

Dia yang bernaung di bawah label Suria Records Sdn Bhd berharap single berkenaan mendapat sambutan walaupun lagu berentak era 1990-an kini lebih menjadi perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 4:54 AM