PROJECTOR Band mahu nama terus diingati.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Baru menceburi industri muzik, Projector Band sudah mencapai populariti apabila single sulung Sudah Ku Tahu menerima sambutan luar biasa.

Kehangatan lagu itu melayakkan kumpulan dianggotai Razif Zainuddin (gitar), Iskandar Zulkarnain Shafin (penyanyi), Muhammad Safiq Zainuddin (dram), Isnaidi Eidham Razali (gitar) dan Ahmad Khusairi Shaferi (bass) menang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu 31, tahun lalu.

Selepas itu mereka memperkenalkan dua single baru berjudul Pasti Ada Kamu dan Aisyah yang turut menjadi siulan ramai.

Razif mewakili Projector Band berkata, mereka tidak pernah menjangka Sudah Ku Tahu mampu memberi impak besar terhadap pendengar, begitu juga dengan single Aisyah.

“Dari segi jumlah tontonan di YouTube, lagu Aisyah berjaya memperoleh lebih 11 juta tontonan dalam tempoh dua bulan.

“Walaupun Sudah Ku Tahu sangat popular, jumlah tontonan video muzik di YouTube mengambil masa agak lama untuk mencapai 22 juta tontonan,” katanya.

Walaupun kini fokus mempromosikan lagu Aisyah, Razif berkata, Projector Band sudah merancang mengeluarkan single keempat berjudul Sudah Ku Tahu 2 awal tahun depan.

“Pendengar tidak akan keliru dengan single ini kerana akan memasukkan tajuk lain dalam lirik.

“Melodi akan hampir sama dengan single pertama, rakaman sudah selesai hanya tunggu untuk pelancaran.

“Kami berharap single itu dapat memperoleh sambutan hangat seperti Sudah Ku Tahu,” katanya.

Tidak keluar karya baru selepas single keempat

Selepas memperkenalkan lagu Sudah Ku Tahu 2 nanti, Razif berkata, mereka merancang untuk tidak mengeluarkan karya baru kerana bimbang pendengar akan muak.

“Risau juga pendengar menjadi jemu kalau kami mengeluarkan terlalu banyak lagu. Namun, bergantung pada sambutan pendengar terhadap Sudah Ku Tahu 2,” katanya.

Katanya, terdapat juga perancangan untuk mengeluarkan album mini yang akan menghimpunkan single sedia ada dan beberapa karya baru.

“Sekiranya ada permintaan daripada peminat untuk lagu baru, barulah kami buat. Saya percaya, peminat akan terus mendengar lagu kami sekiranya karya itu berkualiti,” katanya.

Biarpun dengan pencapaian sekarang, pemain gitar itu mengakui masih sukar membayangkan masa depan Projector Band, namun berharap nama kumpulan itu boleh menjadi legenda.

“Tidak dinafikan sekarang susah untuk kekal lama dalam industri muzik seperti band legenda tempatan yang lain. Diharapkan pendengar sekarang akan terus mendengar lagu Projector Band supaya nama kumpulan ini terus diingati generasi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 5:09 AM