Kenyataan Anzalna dalam media sosial Instagram.
Kenyataan Anzalna dalam media sosial Instagram.
Najiy Jefri


"SAYA minta maaf. Pihak produksi tahu cerita sebenar, jadi mereka akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu yang berlaku.€

Itu jawapan ringkas adik kepada pelakon Anzalna Nasir, Afifah Nasir yang didakwa berada bersama penyanyi Aliff Aziz di sebuah pusat karaoke Cheras, semalam.

Afifah ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan isu berkenaan kepada wakil syarikat produksi yang sedang dia dan Aliff bintangi bersama.

"Saya minta maaf sangat-sangat. Nanti saya akan kongsikan kenyataan syarikat produksi," katanya ringkas.

Difahamkan Afifah dan Aliff kini sedang menjayakan drama Izinkan Aku Mencintamu untuk siaran RTM.

Pada masa sama, kakak Afifah yang juga pelakon popular, Anzalna Nasir cuba mempertahankan adiknya di laman sosial Instagram.

"Kadang-kadang kita faham perempuan baru lepas bersalin ini lain sikit perangainya bak kata orang meroyan. Tapi itu orang tua cakap. Jangan salahkan saya semoga dapat diselesaikan dengan maju jaya hehe," tulisnya di Instagram peribadi miliknya.

Terdahulu, media melaporkan seorang artis lelaki kelahiran Singapura ditahan kerana dikatakan memukul isterinya di sebuah pusat hiburan di Cheras, petang semalam.

Mangsa yang masih dalam pantang anak pertama itu dikatakan ke premis hiburan terbabit bersama ibunya, kira-kira jam 4.30 petang untuk mencari suaminya.

Sebaik tiba, mangsa marah apabila mendapati suaminya yang berusia 26 tahun bersama wanita lain dalam sebuah bilik karaoke lalu mengambil gambar mereka sebelum berlaku pertengkaran mulut.

Artis berkenaan dikatakan berang lalu mengambil telefon bimbit isterinya dan memadam gambar bukti sebelum mencampakkan telefon ke arah mangsa.

Kejadian mengakibatkan mangsa luka di muka dan lutut akibat dipukul, selain mendakwa ditolak dengan siku oleh suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 8:35 PM