BLACK, Awie dan Eddie tidak sabar jumpa peminat.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Vokalis kumpulan Wings, Awie mengakui terkilan apabila Konsert Wings 30 Tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu yang dijadualkan berlangsung pada 24 Disember tahun lalu dan dibawa ke satu tarikh yang belum ditetapkan terpaksa dibatalkan.

Awie berkata, meskipun ralat apabila impian menghiburkan peminat di Sabah tidak kesampaian, dia tetap optimis dan berjanji kembali beraksi di Sabah.

“Saya mohon maaf kerana konsert terbabit tidak dapat direalisasikan. Semua tiket yang terjual sudah pun dipulangkan pihak penganjur.

“Bagaimanapun, saya dan ahli lain tetap bertekad untuk kembali menghiburkan peminat di Sabah menerusi album baru yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Kata Awie, dia akan tetap berusaha dan memastikan impian mengadakan konsert menjadi kenyataan.

“Kalau tiada penganjur yang sudi menaja, kami akan cuba mencari jalan untuk pergi sendiri dan mengadakan konsert.

“Bagi saya, kalau tidak dapat mengadakan konsert berskala besar, konsert yang kecil juga sudah memadai. Ini kerana kami sudah berjanji mengadakan konsert di sana selain mahu tutup cerita lama,” katanya yang bertekad mengadakan konsert di Sabah dengan harga tiket yang minimum.

Sementara itu, kumpulan rock yang dibarisi Awie (vokalis), Eddie (bass) dan Black (dram) bakal mengadakan konsert bersama Datuk M Nasir pada 9 September nanti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka.

Awie yang terkenal menerusi lagu Mimpi Syakila itu berkata, konsert sempena Fiesta Getthis itu dijangka berlangsung kira-kira satu jam 45 minit.

Tiket konsert Wings dan M Nasir pada jam 8 malam dijual pada harga RM98 dan RM500 untuk tiket VIP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 12:27 PM