Aliff dan Afifah hadir di lokasi pengambaran Drama Izinkan Aku Mencintaimu. FOTO HM/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi Aliff Aziz memberikan kuasa penuh kepada masyarakat untuk menilai sendiri kontroversi membabitkan dirinya dengan pelakon Afifah Nasir selepas kenyataan dibuat pengarah drama Izinkan Aku Mencintaimu.

Aliff, 26, berkata dia tidak mahu lagi mengulas panjang mengenai perkara itu kerana segala persoalan sudah terjawab.

"Saya berasakan rakyat Malaysia pun sudah penat dengan isu ini. Saya sudah bercakap bahagian saya, jadi tak ada apa lagi nak diperkatakan.

"Menerusi kenyataan pengarah, semua orang pun boleh menilai. Bagi saya daripada situ sudah terjawab segala persoalan. Saya sendiri pun malas dan penat nak memanjangkan isu ini lagi," katanya.

Ditanya berkenaan kehadiran beberapa pengawal peribadi, Aliff menjelaskan ia bagi menjaga keselamatan diri di lokasi.

"Apabila dia (Wan Ariff) memberitahu mahu membawa pengawal peribadi, saya juga bertindak berbuat demikian. Selain ingin menjaga keselamatan saya juga mahu mengelakkan fitnah.

"Jangan kata saya takut pula sebab bawa pengawal peribadi," katanya.

Pada waktu sama, Afifah yang turut ditemui di lokasi sambil ditemani kekasih dan pelakon Hafreez Adam tegas dengan kenyataannya sebelum ini.

"Perkara ini iaitu rancangan melayan kerenah Aliff tidak semestinya semua kru produksi tahu. Kami buat semua ini dengan tujuan nak menghabiskan penggambaran.

"Isu ke pusat karaoke pula hanya beberapa kru saja yang tahu," katanya.

Afifah juga meminta agar isu ini tidak lagi dipanjangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 6:34 PM