NAD (tengah) sebagai isteri Kapten Zainal.
NAD (tengah) sebagai isteri Kapten Zainal.
PAPAR perjuangan wira negara pada 1970-an.
PAPAR perjuangan wira negara pada 1970-an.
Amirul Haswendy Ashari


Filem Malay Regiment yang ditayangkan bermula hari ini menambah satu lagi pilihan tontonan filem tempatan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Sebelum ini, penonton tempatan sudah terbiasa dengan filem patriotik dan kenegaraan seperti Sarjan Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Paloh, Tanda Putera, 1957: Hati Malaya, Bravo 5 dan baru-baru ini Kanang Anak Langkau.

Filem arahan Datuk Jurey Latiff Rosli yang membabitkan kos RM2.5 juta ini turut menerapkan hampir 30 peratus teknik Imej Janaan Komputer (CGI).

Malay Regiment yang menampilkan lakonan Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Kamal Adli, Nad Zainal, Yuswaisar, Normah Damanhuri, Noni AF dan Falisha Crossley ini berdasarkan kisah benar adalah untuk mengangkat kisah benar 11 perajurit negara yang terkorban pada 1976 di Gubir, Kedah selepas helikopter mereka ditembak jatuh pengganas komunis.

Jurey berkata, tujuan filem ini dihasilkan untuk mengenang jasa perajurit tanah air termasuk Allahyarham bapanya, Kapten (B) Mohd Rosli Yahya.

“Arwah bapa selalu berkongsi cerita dan pengalamannya ketika berada dalam tentera. Sejak itu semangat patriotik sudah sebati dalam jiwa saya.

“Saya mahu mesej pengorbanan dilakukan anggota tentera mempertahankan negara sampai kepada masyarakat. Bukan sekadar bercerita mengenai pertempuran atau peperangan,” katanya.

Jurey yang juga penerbit filem ini mengakui sumber rujukan filem patriotik dan kenegaraan belum cukup.

“Tidak ramai penerbit berani menghasilkan filem sebegini kerana ia tidak menjanjikan pulangan lumayan berbanding filem komersial,” katanya.

Jurey yang juga penerbit filem Paloh pada 2003 berkata, usahanya ini sebagai sumbangan kepada negara menerusi perfileman.

“Siapa lagi yang akan menghasilkan filem begini sekiranya semua produksi hanya mahu selesa dengan menerbitkan filem komersial?

“Ramai penerbit buat filem sebab fikirkan untung saja, tetapi anak seni juga perlu hasilkan lebih banyak sumber rujukan untuk negara dan generasi akan datang,” katanya.

Terlalu banyak teknik CGI

RAP berkesempatan menonton filem ini pada malam gala tayangan perdananya, baru-baru ini.

Secara jujurnya, filem ini wajar ditonton bagi membangkitkan semangat patriotik tetapi usaha ke arah itu ‘terlalu serius’ sehingga beberapa elemen penting yang perlu ada di dalam filem kurang diberi perhatian.

Umum tahu, filem dihasilkan adalah bertujuan membangkitkan rasa dan emosi penonton melalui keterujaan yang lahir dari penceritaan babak ke babak.

Elemen tambahan seperti aksi, romantik, komedi, drama dan sebagainya adalah perencah yang menyedapkan sesebuah jalan cerita.

Malangnya, Malay Regiment hanya bermain dengan fakta dan lakon semula, itu sahaja.

Pengarah seolah-olah terlupa untuk memasukkan emosi di dalam babak.

Beberapa pelakon cuba memberi lakonan terbaik, antaranya Nad, Yuswaisar, Zack Zamree, Normah dan Tarmimi.

Filem ini juga dirasakan terlalu banyak CGI yang tidak perlu. Contohnya pada babak perbualan antara anak dan watak Kapten Zainal (lakonan Yuswaisar) di depan rumah, babak di dalam gerabak kereta api antara Kapten Zainal, Leftenan Hamid dan penumpang lain.

Babak menonjolkan pergerakan kereta api juga boleh dikatakan ‘over execute’. Ada antara babak CGI diulang-ulang bagi mengisi ruang kekosongan sub-plot.

Di segi lakonan, perkembangan karakter terlalu singkat dan tidak dikembangkan dengan baik.

Berbalik kepada plot dan sub-plot, teknik suntingan ‘non-linear’ yang diguna pakai dalam kaedah penceritaan dan suntingan terlalu cacamarba dan menghilangkan fokus tontonan. Setiap sub-plot tidak dicanai dengan baik dan digarap separuh jalan.

Babak imbas kembali (flashback) tidak seimbang dengan babak zaman ini membuatkan penonton sekali lagi hilang fokus.

Sinopsis

Malay Regiment mengisahkan tiga cucu bekas tentera yang terkorban ketika bertempur dengan pengganas komunis pada 1976 di Gubir, Kedah.

Mereka ingin mengetahui kisah datuk mereka semasa berkhidmat sebagai anggota tentera lalu dipertemukan dengan seorang pesara askar iaitu Mejar Jeneral Abu Bakar yang sedang menulis sebuah manuskrip mengenai pengalaman beliau di dalam pasukan tentera darat ketika zaman Insurgensi.

Pahit-maung, suka duka serta semangat tinggi dipaparkan tiga wira tidak didendang iaitu Kapten Zainal, Leftenan Hamid dan Leftenan Muda Razak ketika berjuang dalam pertempuran dengan komunis dicatat dalam manuskrip beliau.

Manuskrip ini mengangkat tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang diterapkan dalam jiwa anggota tentera Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Ia juga menceritakan bagaiman satu keluarga Cina diselamatkan ketika dibelasah pengganas komunis. Pengganas komunis kemudian membunuh keluarga Cina terbabit dan meninggalkan anak perempuannya sebelum diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Leftenan Hamid.

Tiga pertempuran membabitkan perajurit negara dengan pengganas komunis dalam Operasi Gubir 2 dilakukan selepas pengganas komunis menembak jatuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 11 anggota keselamatan.

Kisah perjuangan itu menarik minat cucu Kapten Zainal, Leftenan Hamid dan Leftenan Muda Razak untuk mengetahui lebih lanjut kisah sebenar yang berlaku ketika itu.

Pertemuan dengan Abu Bakar merungkai segala persoalan dan kisah di sebalik pertempuran yang berlaku ketika datuk mereka berjuang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 2:47 AM