Rudy Imran Shamsudin


Adaptasi novel ke filem atau drama TV menjadi pilihan produser tempatan terutama selepas kejayaan filem Ombak Rindu hingga menjadi satu fenomena.

Untuk penerbitan drama TV pula, sepanjang tahun lalu saja ternyata drama bersiri yang diangkat daripada novel dilihat berjaya dan memperoleh jumlah tontonan tertinggi dan menjadi ‘trending’ dalam laman sosial seperti Dia Semanis Honey, Suri Hati Mr Pilot dan 7 Hari Mencintaiku.

Kejayaan drama terbabit secara tidak langsung membantu industri penerbitan buku dan novel tempatan apabila ia diulang cetak. Ia secara tidak langsung membantu pihak penerbitan dan penulis mempromosikan karya dihasilkan.

Ini diakui Pengarah Urusan Rumah Penerbitan Fajar Pakeer dan Dear Novels, Haironzan Mohd Idris yang menganjurkan Malam Penghargaan Penerbitan Fajar Pakeer dan Dear Novels, baru-baru ini.

Begitupun, perkembangan positif industri penerbitan drama itu dilihat tidak bertahan lama apabila kebelakangan ini ada antara novel yang diadaptasi ke layar perak atau TV gagal menarik perhatian penonton.

Kejayaan drama bersiri yang diadaptasi daripada novel juga tidak boleh dijangka walaupun membariskan pelakon popular.

Pengarah Urusan MIG Production, David Teo sewaktu majlis itu mengakui penonton sekarang semakin bijak menilai sesebuah karya yang diadaptasi.

Menerima anugerah penghargaan atas penerbitan drama Mencintaimu Mr Photographer daripada novel popular, David akui adaptasi novel popular juga belum tentu menjanjikan jumlah tontonan tinggi.

Katanya, kejayaan turut bergantung kepada beberapa faktor lain. Sebagai produksi berpengalaman menerbitkan drama adaptasi novel dan popular seperti Si Kolot Suamiku, Sha & Shah dan terbaru Mencintaimu Mr Photographer, selalunya karya mana yang hendak diangkat akan dibincangkan terlebih dulu dengan stesen TV.

“Kami akan membaca dan memilih novel yang dirasakan sesuai untuk diadaptasi terlebih dahulu. Begitupun pemilihan akan dibuat mengikut garis panduan yang diberikan cerita bagaimana yang dimahukan stesen TV.

“Sebenarnya ada beberapa faktor mengapa drama yang diadaptasi daripada novel diminati ramai. Memindahkan cerita dari buku kepada TV tidak mudah seperti dibayangkan. Sudah tentu sewaktu novel diadaptasi, ceritanya harus kekal dan nampak indah apabila berada di TV.

“Pengarah memainkan peranan penting dalam mencorakkan keseluruhan jalan cerita dan juga watak serta perwatakan. Selalunya pelakon harus mempunyai gabungan mereka yang baru dan berpengalaman tetapi tidak popular.

“Ini kerana cerita itu sendiri yang akan mengangkat hero dan heroinnya. Perkara ini saya perasan apabila menggabungkan Siti Elizad dengan Amar Baharin dalam Si Kolot Suamiku. Waktu itu Elizad baru saja kembali aktif selepas berehat panjang kerana menjaga arwah ibunya.

“Begitu juga dengan Sha & Shah, saya gabungkan Kamal Adli dan Syatilla Melvin dan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha dalam Mencintaimu Mr Photographer,” katanya.

David juga mengakui jika drama bersirinya diminati, secara tidak langsung nama pelakonnya turut naik. Contohnya drama Mencintaimu Mr Photografer, pengikut Hannah di Instagram terus mencanak naik sehingga lebih setengah juta sedangkan sebelum ini hanya beberapa ratus saja yang mengikuti perkembangan kerjaya seninya.

“Tapi novel popular juga tidak boleh menjadi kayu pengukur kerana ada juga novel terlaris diadaptasi tidak dapat rating tinggi, sama juga dengan gabungan pelakon popular. Ia mungkin ramai yang menontonnya tetapi bukanlah paling tinggi,” katanya.

Sementara itu Haironzan akui persaingan dalam bidang penerbitan novel juga sangat besar. Pihaknya sendiri menghasilkan 20 hingga 30 novel dalam sebulan begitu juga dengan rumah penerbitan lain. Dalam sebulan ada lebih 300 tajuk yang mahu dijual.

Katanya, ada juga drama yang diadaptasi daripada novel tidak membantu jualan dan perkara itu berlaku atas beberapa faktor.

“Selalunya apabila penulis skrip mengubah jalan cerita, ia akan menyebabkan peminat dan pembaca tidak akan menggemarinya.

“Produksi drama seharusnya tidak menyentuh langsung jalan cerita. Apabila drama disiarkan dan penonton membaca novel selepas itu, mereka akan berasakan diri mereka seperti ditipu.

“Faktor pelakon juga memainkan peranan penting. Ada produksi menggunakan pelakon yang tidak bagus dan gagal menghayati watak dengan baik.

“Perkara itu berlaku apabila produksi tidak dapat pelakon yang diminta stesen TV dan ia digantikan pada saat akhir. Akibatnya, keserasian atau romantis yang digambarkan dalam novel gagal dipersembahkan di kaca TV,” katanya.

Dalam majlis itu, Rumah Penerbitan Fajar Pakeer dan Dear Novels turut mengumumkan akan menjalin kerjasama dengan beberapa produksi untuk menghasilkan drama bersiri yang mengangkat novel terbitan rumah penerbitannya.

Antaranya Duda Pujaan Dara bakal disiar menerusi Astro Ria, Isteri Untuk Diiktiraf (bakal disiarkan pada Ramadan oleh RTM), Mr Awesome Guy (RTM) dan pertama kalinya novel Lelaki Penuh Kejutan akan diangkat ke drama radio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:08 AM