ESMA
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bergelar penerbit dan pengarah bukan bermaksud pelakon berpengalaman Esma Daniel ingin meninggalkan bidang lakonan yang sudah sebati dengan dirinya sejak dua dekad lalu.

Esma, 48, berkata, bidang lakonan adalah kerjaya yang diminati dan periuk nasinya sejak dulu.

“Sudah menjadi perkara biasa dalam dunia hiburan, apabila seseorang pelakon beralih ke bidang pengarahan atau penerbitan, ada pihak yang mendakwa mereka akan meninggalkan lakonan.

“Bagi saya, tiada istilah berhenti berlakon kecuali seseorang pelakon itu mengumumkan dirinya bersara dari bidang seni,” katanya.

Esma berkata, dia bertuah kerana terus mendapat sokongan dan semangat daripada peminat setia untuk terus berkarya.

Terbaru, dia terbabit dengan pengambaran drama bersiri berjudul Laluna bergandingan dengan Nasha Aziz, Fathia Latif dan Allysha Sanda.

“Tawaran berlakon tetap ada jika seseorang pelakon tahu untuk meletakkan dirinya dalam pasaran dunia hiburan.

“Tawaran juga ada pasang dan surutnya dan ia juga ujian bagi pelakon yang mahu mengekalkan kerjaya mereka,” katanya.

Esma juga mengembangkan sayap sebagai penerbit dan pengarah sebagai satu kerjaya sekali gus untuk memberi kepuasan kepada dirinya.

“Sebaik-baiknya, penggiat seni lebih cenderung mengaktifkan diri mereka dalam perniagaan kandungan kreatif yang mereka sendiri terbabit.

“Saya juga mengendalikan program berbentuk inkubator ‘First Rate Film Project’ (peringkat fasa kedua) khusus untuk penerbit dan pengarah filem generasi sekarang dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS),” katanya.

Esma berkata, dia juga menganjurkan Bengkel Pengenalan Asas Seni Lakon dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 17 September ini.

Sebarang maklumat boleh hubungi info@yougotraining.com.

Ditanya projek filem terbaru, Esma berkata, dia tidak serik untuk mengarah walaupun filem arahannya Zaiton Ceritaku gagal di pawagam sebelum ini.

“Filem itu unik dan tetap beri kepuasan pada saya sebagai pengarah. Pada masa sama, ia berjaya meletakkan saya sebagai finalis kategori Pengarah Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-26 dan Pengarah Terbaik, Anugerah Majlis Pengkritik Filem serta festival lain.

“Saya juga mahu mengarah filem genre inspirasi atau sesuatu filem yang mencabar minda selepas ini,” katanya.

Kembali di pentas teater

Selepas teater muzikal Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah, Esma kembali beraksi di pentas teater Bahara Emas arahan Rosminah Tahir yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur bermula bulan depan.

Barisan pelakon komersial yang turut menerajui pementasan ini ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Farahdhiya, Amar Asyraf, kumpulan Forteen, Mardiana Alwi, Eyzendy Aziz, Zera Hariz, Aman Nasim dan Mubarak Majid.

Menurut Esma, dia memang menanti peluang untuk beraksi semula di pentas teater tanah air.

“Sebagai pelakon, peluang beraksi di pentas teater adalah proses kemas kini atau memantapkan lagi kemahiran lakonan.

“Ia dapat membantu menguatkan kembali fizikal dan mental dalam kesinambungan karier sebagai pelakon,” katanya.

Mengenai naskhah pula, Esma berkata, Bahara Emas memiliki kekuatan tersendiri untuk menarik penggemar teater tanah air.

“Ia memaparkan senario politik ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

“Teater berkenaan memaparkan gejala rasuah dan fitnah dalam kalangan pembesar Melaka yang wujud ketika itu hingga membawa pernaklukan Portugis.

“Apakah bentuk gejala rasuah hingga mencalar integriti kesultanan Melaka perlu diteladani masyarakat,” katanya.

Bercerita wataknya pula, kata Esma, dia melakonkan watak utama sebagai Sultan Mahmud dalam teater berkenaan.

“Saya tidak ada masalah untuk mendapat keserasian dengan barisan pelakon teater ini seperti Ammar yang juga aktivitis teater dan Farahdhiya pula sangat komited pada pementasan ini,” katanya.

Teater anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ditayangkan secara percuma.

Pementasan Bahara Emas yang juga sempena sambutan ulang tahun ke-50 SPRM akan mula dipentaskan di Auditorium DBP Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:10 AM