Amirul Haswendy Ashari

LuQman cuba mengangkat nilai tradisional dalam persekitaran kontemporari. Menariknya, ia mengang­kat tiga karakter yang cuba melambangkan tiga sisi berbeza, Luqman (Wan Hanafi Su), Ayu Kencana (Raja Ilya) dan Marwan (Josiah).

Luqman seolah-olah mewakili golongan tradisional yang mahu hidup dalam kegemilangan lalu. Watak itu bercerita pada sudut yang mereka ini melihat kehidupan dan cinta pada sisi yang estetika.

Namun, untuk kekal gah dalam masyarakat, mereka perlukan inspirasi kecantikan, keindahan dan keayuan atau bahasa mudahnya, nafsu untuk hidup dan mati bersama. Dalam hal ini, Ayu Kencana mewakili aspek itu.

Ia boleh dilihat melalui watak Luqman yang sentiasa memakai selendang corak harimau di leher ketika berseni.

Jujur dikatakan, filem ini hebat dengan bahasa filem dan subteks yang berlapis-lapis. Boleh dikatakan hampir setiap babak mempunyai makna tersirat yang berhubung kait antara momen, dialog, situasi dan emosi watak.

Contohnya babak Ayu berbual dengan Marwan saat lelaki itu menyatakan cintanya pada Ayu. Ayu berada di sebalik bingkai pintu, melihat dan berbual tanpa wujudnya elemen fizikal.

Marwan mahukan Ayu tapi wanita itu sayangkan suaminya. Ayu tidak menolak pujukan Marwan kerana masih mempunyai sifat hormat pada Marwan. Bagi Ayu, menolak biar ada adab dan itulah yang ditonjolkan dalam babak di sebalik pintu.

Walaupun mempunyai nilai estetika tersendiri, LuQman gagal dari segi menarik perhatian penonton untuk terpaku di layar.

Dari segi lakonan, Raja Ilya kurang faham dengan perwatakan dan arah tuju watak. Mainan jiwa dan bahasa tubuhnya belum cukup besar untuk berinteraksi dengan fahaman yang cuba dibawa dalam filem.

Wan Hanafi Su tidak pernah gagal memberi persembahan terbaik. Malangnya dek kekurangan diberikan Raja Ilya, pelakon hebat itu turut mendapat kesan.

Josiah pula tahu bermain dengan bahasa mata dan tonasi suara yang sesuai dengan keperluan babak.

Pelakon itu mampu memberi persembahan lebih baik sekiranya mempu­nyai pengalaman yang luas pada masa depan.

Antara punca gagal pada mata penonton, perkembangan plot yang terlalu perlahan, teknikal yang ketara ‘murah’, audio yang kasar dan visual yang terlalu banyak ‘noise’.

Tidak mustahil penonton biasa akan tertidur separuh jalan tatkala menanti plot berkembang.

Apa sekali pun, filem ini boleh dijadikan bahan perbincangan ilmiah buat pencinta filem tempatan. Rumusannya, jika anda mencari filem komersial, rasanya LuQman bukan pilihan terbaik.

INFO

FILEM: LuQman

ARAHAN: Mahadi J Murat

PELAKON: Wan Hanafi Su, Raja Ilya, Josiah Hogan

GENRE: Drama

TAYANGAN: 28 September 2017

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:21 AM