Joe (kanan) anggap satu Aiman buat percubaan bagus biarpun dikecam Damian. FOTO fail HM
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


RAJA hip hop Malaysia, Joe Flizzow mengakui tiada masalah dengan nyanyian rap pendatang baru Aiman Tino menerusi lagu Terasa Cinta nyanyian bersama kakaknya, Fara Hezel yang dikecam komposer Damian Mikhail baru-baru ini.

Joe, 38, yang baru mendengar lagu berkenaan bahkan menyifatkan ia satu cubaan bagus daripada Aiman dan dia sendiri sentiasa mengalu-alukan mana-mana penyanyi untuk cuba menyanyi rap.

“Saya tiada masalah dengan nyanyian rap Aiman. Sebenarnya, ia tidaklah terlalu teruk sepertimana didakwa dan percubaannya agak bagus.

“Muzik tiada peraturan tertentu dan pengakhirannya terpulang kepada sesiapa pun untuk mencuba rap. Kecuali apabila penyanyi itu menyanyi sepuluh lagu rap dan hasilnya teruk, itu lainlah.

“Tidak salah Aiman mencuba tapi saya faham pandangan yang cuba Damian sampaikan. Ia disebabkan bunyi dram dalam lagu itu bukan untuk rap tapi ia masih lagu rap,” katanya.

Damien yang juga penyanyi popular rap awal 2000 baru-baru ini menyifatkan tindakan Aiman satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hiphop. Katanya, kalau Aiman menyanyi di depannya, dia akan ‘boo’.

Bagaimanapun, Aiman mengakui tidak kisah dengan kecaman terhadapnya. Dia mengatakan ia hanya satu cubaannya sebagai pendatang baru dan menyifatkan cara kritikan Damian tidak profesional.

Berita berkaitan:

'Aiman tak kisah!'

Berita berkaitan:

Nak buat biar terbaik : Damian

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 12:36 PM