SAARI Amri
SAARI Amri
Norhayati Nordin


Pernah mencipta nama sebagai komposer popular pada era 1990-an, siapa yang tidak kenal dengan Saari Amri, 50.

Apatah lagi, melalui karya lagu ciptaannya, Saari berjaya menaikkan nama penyanyi solo dan berkumpulan tanah air.

Antaranya Slam, Ukays, Umbrella, Ziana Zain, Ella, Shima, Azie, Aris Ariwatan dan ramai lagi

Pun begitu, di sebalik kejayaan Saari atau nama sebenarnya, Saari Jusoh, bapa empat anak ini pernah menerima ujian berat.

Kemalangan motosikal berkuasa tinggi pada 1996, diakui mengubah kehidupannya dalam sekelip mata.

Mengakui hingga kini trauma akibat kemalangan itu, Saari berkata, dia menerima segala-galanya dengan hati terbuka.

“Walaupun sudah berpuluh tahun tragedi kemalangan itu berlaku, saya sedikit pun tidak pernah lupa mengenainya.

“Saya terima dengan hati terbuka dan yang pasti bersyukur kerana Allah SWT masih mengizinkan saya berkarya.

“Sampai sekarang, saya masih aktif mencipta lagu untuk penyanyi lama dan baru yang inginkan karya saya.

“Malah, kebanyakan karya lagu itu dicipta kerana minat dan saya juga tidak meletakkan jumlah harga tertentu,” katanya.

Menurut Saari, dia berasa puas apabila karya dihasilkan itu berjaya memenuhi cita rasa seseorang penyanyi.

KOLEKSI anugerah pencapaian Saari dalam industri seni.
KOLEKSI anugerah pencapaian Saari dalam industri seni.

“Saya amat menghargai bakat orang lain. Ini kerana, saya tahu tidak semua orang bertuah dikurniakan bakat seni.

“Oleh itu, apabila ada penyanyi datang meminta lagu, saya semestinya hasilkan karya itu dengan baik.

“Bagi saya, dapat memuaskan hati orang itu sangat bermakna kerana setiap manusia ada impian sendiri,” katanya.

Sudah menghasilkan lebih 600 lagu, Saari berkata, hingga kini pendapatan daripada royalti banyak membantu menampung kehidupannya sekeluarga.

“Pernah ada jiran bertanya mengenai kerja saya kerana mereka lihat saya selalu di rumah dan tiada masalah kewangan.

“Apapun, saya seorang yang selesa hidup sederhana. Bagi saya, apa yang paling utama adalah keperluan keluarga,” katanya.

Mendirikan rumah tangga bersama Senorita Abdul Rahman, 48, mereka dikurniakan empat anak iaitu Mohd Fitri Amri, 22, Iraas Irmarita, 21, Iraas Marliany, 17, dan Amri Farizuan, 14.

Turut bersikap terbuka bila ditanya mengenai dirinya yang pernah dianggap tidak waras, Saari akui dia tidak berkecil hati.

“Saya tahu ada orang pernah cakap saya sudah tidak betul. Bagi saya, biarlah apa yang mereka hendak kata.

“Saya tidak berkecil hati langsung kerana Allah SWT maha mengetahui. Saya terima dengan reda ujian yang diberi.

“Melalui ujian itu, banyak pengalaman hidup dipelajari. Malah, yang penting saya dapat peluang muhasabah diri,” katanya.

Sepanjang 30 tahun bergelar penggiat seni, Saari sudah memenangi lebih 40 anugerah berprestij industri hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:25 AM