Ramona melahirkan anak perempuan Khamis lalu. FOTO Arkib NSTP.
Michelle Gun


PELAKON Ramona Zamzam, 27, belum merancang untuk membuka akaun Instagram khas untuk anak perempuan sulungnya yang lahir Khamis lalu.

Ramona yang berkongsi gambar bayi itu di laman sosialnya semalam berkata, baginya kelahiran anak bukan untuk mencari populariti.

“Saya tidak menolak akan membukanya pada masa depan. Buat masa ini, saya kongsi gambar anak di akaun Instagram saya.

“Apa pun, saya hanya kongsi gambar anak dengan pengikut apabila ada masa lapang kerana mengutamakan keperluan anak dan keluarga dulu,” katanya.

Ramona atau Ros Ramina Qadira Mohd Zamzam berkata, dia sepatutnya melahirkan pada 29 November tetapi anak perempuannya lahir lewat seminggu pada 7 Disember lalu.

“Doktor beritahu kandungan sihat dan memang ada kes ibu melahirkan anak pada minggu ke-41.

“Mujur anak sihat dan saya dapat bersalin secara normal," katanya.

Berkahwin dengan Rami Alashkar, 29, pada 1 Mei 2015, Ramona bersyukur kerana suami dan ibunya berada di sisi ketika bersalin di hospital swasta di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 6:46 PM