DEBARAN pengumuman penyingkiran.
Ardini Sophia Sina


Tidak hanya menyasarkan kanak-kanak, program realiti Islamik Tahfiz Muda turut menggalakkan semua umat Islam untuk sama-sama mendalami ilmu agama menerusi pertandingan membabitkan 12 peserta itu.

Memulakan episod pertama bagi musim kedua pada 14 Disember lalu, kali ini pentas itu tidak hanya dibuka kepada warganegara Malaysia tetapi turut mengalu-alukan penyertaan dari negara jiran Asia Tenggara.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Ustaz Ahmad Fuad Mat Ali berkata, pihaknya masih mengekalkan syarat penyertaan iaitu khas untuk peserta berusia lima hingga 12 tahun.

“Kali ini ia disertai dua peserta dari Indonesia dan seorang baru berusia lima tahun dan dia menepati kualiti yang kami inginkan,” katanya.

Bertemakan Quranku, Sahabatku, Tahfiz Muda musim kedua mengekalkan juri yang sama sejak musim pertama iaitu Pencetus Ummah (PU) Muhamad Hafiz Mohd Haneefa dan Ustaz Don Danial Don Biyajid sebagai Hakim Munibbah (Hafazan), Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman sebagai Hakim Tilawah dan Taranum serta Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin sebagai Hakim Tajwid.

Peserta Tahfiz Muda juga akan berdepan cabaran dan tema berbeza setiap minggu termasuk menghafal surah yang terkandung dalam juzuk ke-30 (Juz Amma) dan surah pilihan yang akan dinilai dari segi kelancaran hafazan, ketepatan tajwid, kreativiti bacaan (tarannum), ketrampilan dan personaliti, pengetahuan asas fardu ain serta idea kreatif persembahan.

BARISAN juri Tahfiz Muda.

“Peserta paling muda tahun ini berusia lima tahun. Mungkin ada yang cakap tidak adil apabila dia harus bertanding dengan kanak-kanak berusia 11 tahun.

“Tetapi, ketika uji bakat diadakan yang membezakan itu cuma komunikasi. Dari segi hafazan, dia tetap memberikan saingan yang sengit. Bagi saya, faktor umur bukan satu masalah yang besar.

“Cuma tahun ini yang lebih mencabar apabila ada surah pilihan kerana ada antara mereka yang sudah hafal ada juga yang masih belum menghafal surah berkenaan. Tetapi, itulah yang kita panggil cabaran,” katanya.

Musim ini juga menyaksikan Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Riduan tampil sebagai pengacara, manakala Elfira Loy akan menggalas tugas sebagai pengacara Rehal.

Memeriahkan lagi musim ini ialah watak animasi Adam yang akan membuat penampilan antaranya dalam episod Persada Tahfiz Muda.

Dia akan berkongsi beberapa tip dan trivia menarik mengenai al-Quran.

Pada minggu pertama dan minggu kedua, masih belum ada penyingkiran.

Adakah semua 12 peserta mampu meneruskan langkah ke pentas akhir Tahfiz Muda? Terus saksikan dan ikuti perkembangan program realiti Islamik ini.

PESERTA lelaki Tahfiz Muda.

Setiap juri ada peranan

Pada musim pertama, Ustaz Don tampil sebagai Murabbi dan dilantik sebagai juri pada pentas akhir. Namun, dalam musim terbaru ini, dia menggalas tanggungjawab berkenaan bermula pada minggu kedua hingga akhir.

Don berkata, sebagai juri, dia mengakui wujud perasaan takut apabila berhadapan dengan proses penyingkiran peserta.

Sehubungan itu, dia meletakkan harapan tinggi supaya setiap peserta memberikan persembahan terbaik.

“Dulu saya cuma Murabbi dan juri pada episod terakhir. Sebagai Murabbi saya berharap peserta akan lepas ke peringkat seterusnya tetapi kali ini saya meletakkan harapan tinggi terhadap mereka.

“Apabila ada penyingkiran, saya mahu mereka melakukan yang terbaik. Kalau tersingkir pun biarlah mereka melangkah meninggalkan pentas dalam pencapaian terbaik,” katanya.

PESERTA perempuan Tahfiz Muda.

Dari segi ketegasan dalam menegur dan memberikan komen, kata Don, keempat-empat juri mempunyai karakter berbeza bagi mewarnai pentas Tahfiz Muda musim kedua.

“Kalau kita lihat, Ustaz Zamri lebih sebagai ayah kepada kanak-kanak itu dan Ustazah Sharifah pula adalah guru disiplin sebab dia yang paling garang. Ustaz Hafiz akan bertindak sebagai pengetua maahad kerana dia memberikan komen pada sudut pendidikan.

“Saya pula menjadi abang kepada peserta. Saya hanya akan memberikan komen positif dan bersorak untuk mereka supaya terus bersemangat. Kesalahan kecil saya tidak akan pandang kerana juri lain akan memperbaikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 4:22 AM