Dan Reynolds buat pengakuan ketika konsert jelajah Imagine Dragons Evolve World Tour di Stadium Malawati, Sabtu malam.
Dan Reynolds buat pengakuan ketika konsert jelajah Imagine Dragons Evolve World Tour di Stadium Malawati, Sabtu malam.
Georgie Joseph


VOKALIS Imagine Dragons dari Amerika Syarikat, Dan Reynolds, 30, mengakui makin pulih daripada penyakit kemurungan yang dialami sejak beberapa tahun lalu.

Pengakuan itu dibuatnya pada konsert siri jelajah Imagine Dragons Evolve World Tour di Stadium Malawati, Shah Alam malam Sabtu dan sempat menasihati penonton yang senasib supaya meminta pertolongan secepat mungkin.

Katanya, sejak didiagnosis mengalami kemurungan beberapa tahun lalu dia tidak menyangka bertukar kekuatan buatnya sekarang.

“Jangan pernah menganggap penyakit itu sebagai satu kelemahan. Kepada sesiapa yang berhadapan kemurungan atau ketakutan, jangan jadikan ia kelemahan diri. Carilah bantuan dan suarakan apa yang kamu ingin sampaikan.

“Paling bagus, carilah pakar terapi untuk diri kerana saya pun memiliki satu. Saya ingin beritahu semua yang saya kini sangat-sangat sihat,” katanya di hadapan lebih 10,000 penonton.

Ini kunjungan julung kali band yang mula meledak dengan lagu Radioactive itu. Band rock berkenaan mengakui sudah lama menyimpan hasrat berkunjung ke Malaysia.

Kata Reynolds, mereka cuma menunggu masa paling tepat untuk merealisasikan impian peminat di sini.

“Untuk pengetahuan semua, kami sangat menjaga media sosial kami. Saya masih ingat pada 2012, peminat di sini membuat permintaan agar kami datang Malaysia.

“Akhirnya impian itu tercapai dan kami sangat bertuah dapat datang ke sini. Kami dilayan dengan begitu baik dan peminat di sini memang mengagumkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 1:46 PM