Zed selaku presiden Seniman tidak mahu terburu buru. FOTO fail HM/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi akan meneliti secara terperinci kes penahanan polis membabitkan pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari, petang tadi, hari ini.

Zed, 36, menjelaskan pihaknya tidak boleh mengambil tindakan segera kerana kes itu membabitkan polis dan pihak lain.

"Beri kami (Seniman) masa untuk membuat siasatan lanjut atas apa yang berlaku. Kami tidak boleh terburu-buru untuk ambil sebarang tindakan.

"Dalam perkara ini, kami perlu mendapat maklumat daripada semua sudut kerana ia membabitkan polis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Zed, Seniman akan memaklumkan sebarang maklumat terkini secepat mungkin selepas berjaya mendapat hasil siasatan terperinci.

"Seniman akan cuba membantu apa yang perlu untuk Farid sebaik saja selepas kami mendapat hasil laporan siasatan dilakukan.

"Apapun, Seniman tetap prihatin dalam apa jua masalah membabitkan artis tempatan meskipun hal yang kecil," katanya.

Terdahulu, Farid ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner, Mohd Zani Che Din berkata suspek berusia 37 tahun itu menampar anggota polis yang bertugas di kaunter Balai Trafik Kota Damansara.

"Selain menampar polis, dia turut menendang dua orang awam di dalam balai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek datang ke balai bersama seorang rakan untuk membuat laporan polis kes kemalangan jalan raya, namun apabila anggota trafik bertanya laporan yang ingin dibuat, suspek kemudian menunjukkan whatsapp 300 artis hutang ah long.

“Dia kemudian tiba-tiba menampar anggota polis dan menendang dua orang awam di lokasi kejadian tanpa provokasi,” katanya kepada Harian Metro.

Berita berkaitan:

[UPDATE] 'Beri kami ruang...'

Berita berkaitan:

Pelakon bergelar Datuk mengamuk di balai

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 6:42 PM