Insiden yang mencemaskan Kim. FOTO MUHAIMIN MARWAN
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON aksi lagak ngeri, Kim Fukazawa, 30, berdepan detik cemas ketika menjalani latihan terjunan udara di Indonesia, baru baru ini.

"Payung terjun utama tiba-tiba ditiup angin kencang menyebabkan saya berpusing 360 darjah pada ketinggian 'cutaway' 2,000 kaki (610m) di udara.

"Saya hanya ingat mati ketika itu dan sedia untuk berdepan pelbagai kemungkinan buruk," katanya.

Malah, dia berasa lega kerana payung kecemasan disertakan bersama berfungsi dengan baik.

Kata pelakon filem Last Kopek Havoc itu, dia hanya mampu menangis kerana tidak percaya berjaya mendarat tanpa sebarang kecederaan fizikal.

Pun begitu, situasi dialami tidak mematahkan semangatnya terus melakukan terjunan pada masa depan.

Dia menyimpan impian mahu membuat 100 kali terjunan menjelang Mei ini.

Buat masa ini, Kim sudah melakukan 35 terjunan udara.

Dia akan melakukan aktiviti ngeri itu sekali lagi di Indonesia, bulan depan.

Sebelum ini, Kim terbabit dalam kemalangan ketika membuat persembahan 'makan api' menyebabkan separuh muka terbakar pada 2012.

Kim atau nama sebenar Nurul Hafiza Mohd Sakri mendapat jolokan 'Gadis Pemakan Api' kerana kebolehannya bermain dengan api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 2:35 PM