AJAK Shiro. FOTO NSTP
AJAK Shiro. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


SEHARI selepas dibenarkan keluar dari hospital, pelawak yang kini bergelar penyanyi, Ajak Shiro, 32, melancarkan single solo pertamanya yang berjudul Ging Gang Guli secara online.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki buat saya dan Alhamdulillah juga untuk kesihatan yang diberikan. Semoga dengan kehadiran single solo sulung ini, saya dapat memberikan sesuatu kepada industri,” katanya kepada Harian Metro.

Namun, Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak menegaskan, insiden dikejarkan ke hospital dan ditahan di wad tempoh hari bukanlah gimik untuk pelancaran single ini.

“Pelancaran single ini sudah dirancang sebelum saya sakit lagi dan tarikh 16 Mac ini juga adalah atas persetujuan bersama komposer lagu ini, Hafiz Hamidun.

“Jadi, ia bukanlah gimik untuk mencuri perhatian, sengaja dilakukan semata-mata untuk pelancaran single ini atau apa,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Ajak berkata, keadaannya kini sudah kembali pulih, namun akan berehat sehingga Ahad.

“Saya akan berehat sehingga Ahad dan akan kembali bekerja seperti biasa pada Isnin nanti.

“Saya tidak berani berjanji untuk memperlahankan kerja-kerja seni, tapi Insya-Allah saya akan luangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri,” katanya.

Single Ging Gang Guli berkonsep lagu komedi itu adalah hasil ciptaan Hafiz Hamidun manakala liriknya oleh Ajak sendiri. Ia bercerita mengenai hubungan dalam rumah tangga dan kekeluargaan.

Video lirik Ging Gang Guli sudah dimuat naik ke YouTube sejak tengah malam semalam dan mula mendapat jumlah tontonan mencecah lebih 1,000 tontonan.

Ajak sebelum ini pernah muncul dengan single duet bersama Usop Mentor berjudul Sampai Langit yang menjadi lagu OST filem Rempit Sampai Langit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:46 PM