MAN Bai.
MAN Bai.

Walaupun tidak aktif seperti dulu, Man Bai adalah antara penyanyi yang terus diingati.

Popularitinya bersama kumpulan Gersang pada penghujung 1980-an dulu dan kerjaya solonya dengan lagu ‘evergreen’ Kau Ilhamku mengiyakan fakta ini.

Namun, mungkin ada yang tidak tahu atau tidak ingat, kerjaya nyanyian Man Bai, 51, hampir berkubur ketika dia masih di puncak populariti.

Malah, ketika masih di puncak kemasyhuran, Man Bai sanggup bekerja sebagai kru pentas hanya dengan gaji RM390 sebulan.

Semuanya gara-gara masalah tonsil dialaminya pada 1990 ketika dia bersama anggota Gersang sedang bertungkus-lumus di studio rakaman menyiapkan album keempat mereka.

“Saya terpaksa menjalani pembedahan membuang tonsil. Doktor menasihatkan saya supaya tidak menyanyi.

“Bayangkan ketika itu Gersang masih popular dan sedang merakamkan album terbaru, tetapi saya tidak boleh menyanyi. Rakaman album terpaksa dihentikan dan seterusnya Gersang dibubarkan.

“Saya fikir saya nak kerja apa? Lebih parah saya pula baru berkahwin ketika itu,” katanya.

Man Bai berkata, bagi menampung kehidupannya dia berjumpa dengan Roslan Aziz yang juga pemilik Roslan Aziz Productions (RAP) dan ditawarkan bekerja sebagai kru pentas.

“Roslan berjabat tangan dengan saya dan berkata, kau kerjalah dengan aku. Aku bayar RM390 sebulan, boleh?

“Saya tidak ada pilihan dan terus terima tawarannya. Lagipun saya tahu saya boleh belajar mengenai kerja-kerja belakang tabir dengan RAP,” katanya.

Bersama RAP, Man Bai bekerja sebagai kru pentas di konsert artis RAP seperti Sheila Majid dan Zainal Abidin.

Malah, Man Bai turut terbabit dalam konsert jelajah Zainal Abidin di Jepun pada awal 1990-an dan Konsert Ikhlas di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dihadiri lebih 40,000 penonton.

“Ketika itu orang mengenali saya sebagai penyanyi Gersang. Malah, ramai terkejut apabila melihat saya tidak menyanyi atas pentas, tetapi menggulung kabel, mengang­kat barang dan peralatan muzik.

“Pada mulanya agak malu, tapi saya tak pedulikannya. Apa yang penting, saya mahu belajar,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Man Bai berkata, bekerja dengan RAP banyak membantu dia mempelajari selok-belok produksi dan penerbitan konsert.

Katanya, dia hanya kembali menyanyi pada 1995 dan tampil dengan lagu Kau Ilhamku menerusi album solo pertamanya.

Album berkenaan juga berjaya mengembalikan populariti Man Bai dan memenangi kategori Penyanyi Solo Lelaki Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1996.

Selain itu, Man Bai memiliki dua lagi album solo iaitu Positif pada 1999 dan Inspirasi (2007).

Man Bai turut aktif sebagai pelakon dan pernah muncul dalam beberapa filem seperti Layar Lara, Cinta 200 Ela, Syukur 21, Ah Loke Cafe, Puteri Gunung Ledang dan 1957 Hati Malaya.

Bawa lapan lagu Gersang

Bagi peminat Man Bai, penyanyi berasal dari Johor Bahru ini bakal muncul dengan persembahan istimewa di Hotel Royale Chulan, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur pada 15 April ini jam 8 malam.

Dalam persembahan itu, Man Bai akan membawakan lapan hingga 10 lagu popular ketika bersama Gersang serta album solonya.

“Persembahan ini lebih kepada nostalgia untuk peminat saya dan Gersang. Pasti ramai yang masih mengingati lagu-lagu popular saya dulu,” katanya.

Turut tampil membuat persembahan ialah Rahim Maarof yang popular dengan lagu Cinta Kristal, Jangan Kau Rayu, Istana Menanti dan Usang.

Man Bai berkata, Rahim akan menyanyikan tiga lagu popularnya dan persembahan Rahim tidak wajar dilepaskan.

“Rahim antara penyanyi lelaki yang bertaraf legenda. Dia pun sudah agak lama ‘menghilangkan’ diri. Jadi, ini peluang untuk menyaksikan dia membuat ‘comeback’,” katanya.

Tiket untuk menonton persembahan ini berharga RM120 dan orang ramai boleh membelinya dengan menghubungi Sherry di talian 019-2928260.

Selain itu, Man Bai juga akan tampil dengan Konsert 3V bersama Rahim Maarof dan Zamani di beberapa lokasi Hotel Royale Chulan bermula 28 Julai ini.

Selain Hotel Royale di Mutiara Damansara, ia juga akan diadakan di hotel berkenaan di Kuala Lumpur, Cherating, Seremban dan Pulau Pinang.

Malah, penganjur juga dalam perancangan membawa konsert itu ke Royale Chulan di London.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 5:34 AM
Digital NSTP Subscribe