KATY Perry
KATY Perry
Syafil Syazwan Jefri

Janggal tapi profesional. Itulah reaksi yang ditunjukkan juri American Idol, Katy Perry ketika sesi uji bakat program realiti musim ke-16 itu apabila nama bekas kawan baiknya, Taylor Swift disebut.

Dalam montaj pendek itu, seorang peserta mengakui menjadikan Taylor sebagai rujukannya ketika ditanya Katy.

“Maaf Katy. Artis yang menjadi rujukan saya ialah Taylor Swift,” katanya.

Katy secara profesional mengawal keadaan dengan baik dan tidak melenting sebaliknya menjawab dengan tenang.

“Oh, tidak mengapa. Awak tak perlu meminta maaf,” katanya.

Katy yang duduk di kerusi juri bersama dua juri lain iaitu Lionel Richie dan Luke Bryan mengakui dia mengagumi kelebihan Taylor dalam bidang muzik.

“Saya sukakannya sebagai penulis dan pencipta lagu,” katanya.

Kedua-dua penyanyi itu sebelum ini ada sejarah naik turun dalam persahabatan mereka.

Taylor pada 2014 pernah meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa Katy cuba mensabotaj persembahan mereka.

“Dia (Katy) cuba mensabotaj keseluruhan siri jelajah ini dengan mengambil sekumpulan pekerja tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Tiga tahun selepas itu, Katy pula ketika hadir pada acara bual bicara James Corden mendedahkan Taylor yang memulakan pergaduhan di antara mereka.

“Saya cuba berbincang dengannya, namun dia menolak. Saya cuba lakukan apa yang termampu. Namun, dia menulis lagu mengenai saya. Bagaimanapun, saya okey dengan tindakannya,” kata Katy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:08 AM