FINALIS bersama Aqasha, Lokman (dua dari kiri), Sarena (tiga dari kiri), Syafinaz (enam dari kiri), Norliza (sembilan dari kiri), Misha dan Sufian.
FINALIS bersama Aqasha, Lokman (dua dari kiri), Sarena (tiga dari kiri), Syafinaz (enam dari kiri), Norliza (sembilan dari kiri), Misha dan Sufian.
DARI kiri, Hariz, Yasser, Anna, Heidi, Ferona dan Hafiz.
DARI kiri, Hariz, Yasser, Anna, Heidi, Ferona dan Hafiz.
Ridzuan Abdul Rahman


Selama 10 minggu bersiaran, pertandingan nyanyian paling lama bertahan, Bintang RTM 2018 bakal sampai ke kemuncak Sabtu ini (7 April) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam dan turut disiarkan secara langsung di TV2.

Selepas berhempas pulas mempamerkan persembahan terbaik saban minggu, pentas akhir akan digegarkan enam peserta iaitu Ferona, Heidi, Hafiz, Hariz, Yasser dan Anna.

Ironinya ketika program pertandingan nyanyian lain wujud dengan pelbagai tarikan dan keistimewaan tersendiri, Bintang RTM kekal mempertahankan kualiti apabila menggunakan juri tetap.

Penerbitnya, Sarena Mohd Salleh berkata, semua peserta diberi tugasan berbeza setiap minggu berdasarkan tema dan cabaran. Mereka juga diuji dengan latihan sebagai persediaan untuk menempa nama dalam industri.

“Minggu akhir cabarannya lebih hebat kerana mereka perlu bersaing dalam tiga pusingan diiringi Orkestra RTM yang dipimpin Azman Mustapha.

“Pusingan pertama menyaksikan mereka perlu berduet dengan vokalis band terkenal Sevendays, Sakura Band, Drama Band, Projektor Band, I Am Neeta dan Ameer Sofaz menyanyikan lagu secara ‘battle’ dan ‘mash up’.

“Pusingan kedua bakal melakar kenangan manis buat finalis kerana berpeluang menyampaikan sebuah lagu baru yang digubah khas komposer terkenal iaitu AG Coco, Syamel, Manusia Putih dan Hang Nadim.

“Manakala, pusingan ketiga pula adalah pusingan ‘battle’, apabila peserta lelaki dan perempuan akan menguji vokal masing-masing menerusi lagu yang ditugaskan,” katanya pada sidang media yang berlangsung Isnin lalu.

Sidang media itu turut dihadiri Pengarah Program TV Norliza Ali, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi Lokman Kamari dan Penolong Pengarah Hiburan TV Yusari Ameer Mohd Yusof serta enam finalis Bintang RTM 2018.

Bagi membuktikan kesungguhan mereka, persembahan peserta pada pentas akhir akan dinilai dan diadili sepenuhnya juri profesional iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Adibah Noor.

“Kami memang tak buka langsung undian penonton kerana lebih mempercayai konsep penjurian mereka yang profesional. Semoga cara ini dapat membantu melahirkan penyanyi yang berkualiti.

“Hadiah yang ditawarkan untuk juara ialah RM20,000, naib juara RM15,000 dan ketiga RM10,000. Kami juga menyediakan hadiah wang tunai RM5,000 untuk pemenang kategori terbaik dan persembahan terbaik.

“Mungkin nilai hadiah tidak sebesar mana tetapi kami buka ruang dan menawarkan mereka untuk mencipta nama dalam industri nyanyian tanah air,” katanya.

Norliza pula berharap peserta memanfaatkan peluang yang ada kerana bukan mudah penyanyi baru mempunyai single sendiri.

“Setiap penyanyi perlu ada single dan mereka bertuah kerana ‘dihadiahkan’ single untuk terus bertapak dalam bidang seni.

“Tak dinafikan bukan mudah untuk single ini diterima peminat tetapi ia bergantung kepada penghayatan nyanyian mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, selaku tenaga pengajar vokal dan juri, Syafinaz memuji prestasi enam finalis Bintang RTM 2018.

“Mereka boleh menyanyi dan saya hanya perlu asah, paksa dan terapkan keyakinan untuk mereka kenal benda-benda baru.

“Alhamdulillah ramalan saya siapa yang keluar setiap minggu dan kekal tepat kerana saya tahu perkembangan mereka. Saya tahu siapa yang mahu cuba benda baru atau selesa kekal di takuk lama.

“Mereka yang kekal terdiri daripada yang memiliki vokal bagus atau berani mencuba benda baru. Mereka juga menunjukkan peningkatan setiap minggu dengan memberikan yang terbaik bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi juga persembahan,” katanya.

Syafinaz menyifatkan cabaran ‘mash up’ akan menguji peserta kerana ia bukan perkara mudah.

“Mereka mempunyai masa yang amat singkat untuk belajar dan buat latihan. Apa yang diperlihatkan mereka adalah satu kejayaan,” katanya.

Enam peserta yang ditemui pula mengakui teruja bersaing di pentas akhir. Mereka juga mengambil pendekatan merendah diri dan menghormati persembahan peserta lain.

Bagi mereka, setiap peserta ada kelebihan dan akan menampilkan persembahan terbaik buat peminat.

Pentas akhir Bintang RTM 2018 akan menampilkan pengacara Misha Omar dan Aqasha, manakala artis undangan yang akan beraksi ialah Datuk Awie, Ella dan Sufian Suhaimi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 4:59 AM