AIMAN sedia berlakon dengan Fazlina lagi jika diberikan peluang.
Norhayati Nordin


PENYANYI Aiman Tino, 20, mengaku dia tidak sedikit pun berasa serik untuk terus menimba ilmu dalam bidang lakonan yang baru diceburinya kerana minat.

Meskipun, kemunculan Aiman sebagai pelakon untuk drama Mak Cun musim keempat sudah menimbulkan isu, baginya tidak ada apa perlu diserikkan.

“Buat apa saya nak rasa serik. Setakat 'ditampar' untuk belajar mendapatkan emosi dalam lakonan, apalah sangat.

“Ia perkara kecil saja. Malah, saya termasuk ibu bapa dan keluarga boleh menerima perkara itu dengan positif.

“Biasalah, saya minat nak berlakon, tetapi tiada pengalaman. Jadi, apa yang dilakukan kak Fazlina (Fazlina Ahmad Daud) itu sekadar mahu mengajar.

“Cuma, yang sedihnya orang luar lebih-lebih mendebatkannya hingga menjadi satu isu sedangkan di antara saya dengan kak Fazlina, kami baik dan tiada masalah,” katanya.

Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri berkata, dia sedia berlakon lagi dengan Fazlina pada masa akan datang jika mendapat peluang.

“Bekerja dengan pelakon berkaliber macam kak Fazlina, bagi saya satu peluang baik. Jadi, saya tak serik pun.

“Kalaulah ada peluang untuk kami berlakon bersama lagi, saya OK dan sedia untuk menerimanya. Apa yang saya inginkan ilmu lakonan,” katanya.

Mengakui bukan senang menjadi pelakon, Aiman berkata, dia sangat mengharapkan isu ‘ditampar’ itu dihentikan dan tidak berpanjangan lagi.

“Kalau saya boleh tak peduli mengenai perkara itu (ditampar), harapnya orang lain yang tidak tahu kejadian sebenar jangan pula lebih-lebih.

“Kepada peminat saya, terima kasih kerana tidak jemu dan terus memberi sokongan. Jangan lupa dengar single baru saya, Ku Sesat Dalam Rindu,” katanya.

Aiman yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta berkata setakat ini dia bersyukur single Ku Sesat Dalam Rindu turut mendapat sambutan baik peminat.

Terdahulu, pada 29 Mac lalu media melaporkan Fazlina didakwa 'menampar' Aiman di lokasi penggambaran drama Mak Cun musim keempat selepas video itu tular di media sosial dan peminat Aiman marah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:55 AM