Sherry pentingkan kualiti demi kepuasan pelanggan. FOTO MAHZIR MAT ISA


PELAKON, Sherry Ibrahim tidak berminat membuat publisiti murahan sebagai cara pemasaran mempromosikan produk terbaharunya.

Sherry berkata, dia percaya dengan kualiti produk yang diketengahkan mampu menarik minat pembeli.

“Saya akui memang ramai orang menggunakan strategi viral sebagai salah satu cara memperkenalkan sekali gus melariskan produk.

“Bagaimanapun saya percaya jika kita buat sesuatu perkara dengan baik pasti hasilnya juga baik.

“Saya juga percaya dengan kualiti produk dan strategi pemasaran sedia ada iaitu mendekati pelanggan dengan cara turun padang,” katanya ditemui pada majlis pelancaran tudung, Sherry Scarves di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam masa sama, Sherry turut berkongsi rezeki dengan menderma 10 peratus hasil keuntungan daripada jualan koleksi tudung miliknya.

“Insya-Allah saya akan menyumbangkan keuntungan koleksi tudung Paint My Love pada bulan ini kepada Autism Project Cafe, Puchong bagi membantu golongan itu sempena Bulan Kesedaran Autism Sedunia.

“Ini juga bersempena hari lahir saya pada 3 April lalu dan ulang tahun penghijrahan saya yang kedua.

“Saya berharap usaha itu dapat meringankan beban mereka memerlukan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 7:09 PM