Khai Bahar harap peminat jaga tingkah laku. FOTO ROSELA ISMAIL
Khai Bahar harap peminat jaga tingkah laku. FOTO ROSELA ISMAIL
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Khai Bahar mengakui sentiasa menasihati peminatnya agar menjaga adab sama ada ketika hadir menyokong persembahannya atau di laman sosial.

Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 24, berkata dia tidak mahu peminatnya dilabel kurang ajar sekali gus mencemarkan nama dan imej dibawa.

“Sebagaimana mereka menyayangi saya, begitu juga saya, malah lebih lagi. Disebabkan itu, saya sentiasa mengingatkan mereka agar jaga tingkah laku terutama di laman sosial.

“Saya tidak mahu ada komen negatif keluar daripada mereka hingga membuatkan keadaan jadi keruh. Kalau boleh, dalam hidup ini biarlah saling berkasih sayang. Tidak rugi pun.

“Biarlah orang nak berkata buruk mengenai saya, asalkan mereka tidak membalas. Saya sendiri tidak pernah layan atau ambil kisah komen keterlaluan yang dilemparkan,” katanya.

Khai kini muncul dengan single Rahsia Kita duet dengan Fatin Husna berkata, peminat adalah cerminan seseorang artis yang diwakili.

“Orang selalu cakap, peminat membawa imej artis. Jangan disebabkan sikap peminat, artis berkenaan dikecam. Jadi, tidak salah jika saling mengingatkan antara satu sama lain.

“Kalau ada perkara tidak betul mereka lakukan, saya akan tegur. Saya tidak mahu ia berlanjutan hingga menimbulkan masalah lain.

“Saya puji sikap peminat dalam kalangan Khai Bahar Empire (KBE) yang bertanya sendiri jika ada berita tidak benar tersebar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 6:01 PM