LAKONAN mantap Fasha dipuji pengarah.
Amirul Haswendy Ashari


Apakah akan berlaku sekiranya seorang ibu yang murung kerana kehilangan anak sehingga terlupa kewujudan seorang lagi yang juga perlukan perhatiannya?

Persoalan itulah yang cuba dijawab melalui telefilem Istana Firdaus arahan Along Kamaludin yang bakal mengisi slot Cerekarama TV3 pada Mei ini.

Bercakap mengenai telefilem terbitan Mel Corporation (M) Sdn Bhd itu, Along ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem ini berkata, karya ini agak dekat dengan realiti kehidupan masa ini.

“Istana Firdaus adalah mengenai keluarga yang mempunyai dua anak, tetapi disebabkan kekangan kehidupan dan kesibukan bekerja, anak bongsu yang baru berusia dua bulan terpaksa dihantar ke rumah pengasuh.

“Kebetulan pula si pengasuh turut menjaga ramai kanak-kanak lain. Malangnya, hari pertama anak ini dihantar ke sana, dia meninggal dunia kerana tersedak susu,” katanya.

ANTARA babak sedih dalam telefilem Istana Firdaus.

Kematian si anak menyebabkan si ibu mula meroyan dan tidak dapat menerima hakikat kematian anak bongsunya sehingga mengabaikan anak sulungnya yang baru berusia lapan tahun.

Along berkata, isu diangkat di dalam telefilem ini memang berkait rapat dengan realiti kehidupan yang terpaksa dilalui pasangan bekerja berpendapatan rendah sederhana.

“Apa yang berlaku, kita anggap sebagai ‘kun faya kun’ tetapi perkara yang cuba difokus ialah agar pengasuh dapat lebih bertanggungjawab.

“Jangan kerana mahukan duit lebih, ambil terlalu ramai kanak-kanak sehingga timbul isu ‘tidak menang tangan’,” katanya.

Tambahan lagi, telefilem ini turut cuba mengajar ibu bapa supaya lebih berhati-hati bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku ke atas anak mereka jika dihantar ke pusat penjagaan tidak berdaftar.

REDZA Rosli bergandingan bersama Fasha sebagai suami isteri.

Lebih fokus, ibu bapa perlu sedar wujudnya kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar.

Walaupun isu mengaitkan pengasuh tradisional tidak bertanggung jawab agak sensitif, ia adalah realiti dan perlu diambil berat oleh masyarakat.

Ditanya dari segi cabaran, Along berkata, semua pelakon seperti Fasha Sandha, Redza Rosli, Nik Adam Mikael dan Datin Fadilah Mansor memberi persembahan yang terbaik.

“Cuma apabila mengarah babak bersama kanak-kanak, saya agak pening! Saya perlu pastikan mereka tidak nampak seperti sedang berlakon.

“Apabila tidak betul, saya tak boleh lepaskan begitu saja dan kena banyak bersabar. Kadang-kadang ada juga rasa hilang sabar sebab terlalu ramai kanak-kanak terbabit pada satu dua babak,” katanya sambil ketawa.

Katanya, ada babak pelakon tambahan kanak-kanak perlu berdialog dan mereka tidak tahu untuk melontarkan dialog itu secara santai.

Tatkala bekerja dengan pelakon bayi, ia lebih menduga kesabaran kerana pada babak menangis, si bayi pula tidak mahu menangis.

ALONG beri tunjuk ajar lakonan dimahukan.

“Macam-macam cara dibuat untuk bayi menangis, apabila dia mula menangis dan jurukamera merakam, tiba-tiba pula tak menangis,.

“Disebabkan situasi seperti ini, kami terpaksa mengambil berpuluh ‘take’ dan ada juga babak yang terpaksa dipendekkan,” katanya.

Andai ada babak yang memerlukan syot bayi menangis dan kanak-kanak berdialog, mahu atau tidak, mereka terpaksa bersabar.

Pengalaman ini mengingatkan pengarah kepada beberapa karyanya sebelum ini apabila dia terpaksa bekerja dengan pelakon tambahan kanak-kanak.

Katanya, dia pernah menyuarakan hasrat tidak mahu bekerja dengan golongan ini pada satu hari nanti kerana pernah mengalami situasi menghabiskan satu babak selama lebih empat jam.

Ketawa mengenangkan pengalaman lalu dan karya terbaru ini, Along akhirnya sedar ada sebab dia menerima tawaran mengarah karya sebegini.

“Saya terima tawaran mengarah karya ini sebab nak mengajar masyarakat mengenai realiti kehidupan. Ambil contoh drama arahan saya lalu, Andainya Takdir, ia berkisar isu penceraian dan kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Bercakap mengenai pelakon, Along memuji kualiti diberikan Fasha Sandha yang memegang watak Liza dalam Istana Firdaus.

Katanya, pelakon wanita itu bijak menjiwai watak dan sentiasa bawa sesuatu yang berbeza.

LAKONAN pelakon cilik, Nik Adam Mika dipuji.

“Walau pun dia popular dan sudah lama berada dalam industri lakonan, dia tetap meletak diri dalam proses pembelajaran. Tidak seperti segelintir pelakon baru yang pernah pertikai pengarahan saya hanya kerana cara berlakon ditegur.

“Tidak mustahil Fasha mampu merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik sekali lagi melalui lakonannya dalam telefilem ini,” katanya berharap Istana Firdaus tercalon di anugerah pada masa depan.

Along turut memuji lakonan Redza Rosli sebagai Kamal yang baru pertama kali berlakon di bawah arahannya.

Dia berpendapat, pelakon itu tiada masalah di set cuma perlu diberi tunjuk ajar di segi perwatakan serta permainan karekter matang kerana wataknya berpasangan dengan Fasha sebagai suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 2:32 AM