A Aida. FOTO Salhani Ibrahim
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT terkenal, Datuk A Aida akan memastikan poster filem sulung terbitan syarikatnya, ‘Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda’ gempak seperti judul filem itu.

A Aida atau Zaidah Awang, 47, berkata, filem itu bakal menggunakan dua poster rekaan KRU Studios dan Redzstone.

Ia sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa poster filem arahan Bade Azmi itu tidak menarik seperti yang disebarkan sebelum ini.

“Saya ada cita rasa tinggi, okay. Sudah tentu saya mahu poster filem ini gempak. Apa dilihat sebelum ini hanya poster sementara bagi tujuan ‘working title’ dan jemputan media.

“Jangan risau, sebab saya janji poster filem ini tidak akan menghampakan. Malah apabila saya ambil keputusan untuk terbitkan filem ini, bermakna saya tidak main-main.

“Saya cuba untuk tampilkan kelainan dalam filem ini sekali gus memartabatkan penerbitan filem Melayu,” katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Aida juga bakal menganjurkan pertandingan mereka poster filem itu dan menawarkan hadiah lumayan dalam bentuk wang ringgit.

“Saya tahu rakyat Malaysia sangat kreatif. Jadi, untuk menyemarakkan lagi filem ini saya akan anjurkan pertandingan mereka poster. Mana tahu poster mereka lebih bagus.

“Dalam masa terdekat pasukan saya bakal mewujudkan Facebook rasmi filem ini dan semua informasi lanjut boleh didapati di situ,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem itu, Aida berkongsi dia hanya mengambil masa empat hari untuk menyiapkan skrip.

“Saya siapkan skrip awal tahun ini. Saya jenis kalau sudah mula menulis memang akan fokus. Ibaratnya ‘hantu’ merasuk diri. Saya tidak boleh berehat lama.

“Cuma, selepas penyanyi Indonesia, Firman bersetuju berlakon dalam filem ini saya rombak sedikit. Pendek kata, saya wujudkan watak baru untuknya iaitu suami ketiga kepada Cik Siti lakonan Nadia Brian,” katanya.

Filem yang menelan kos pembikinan RM3 juta itu bakal memulakan penggambaran 1 Mei ini di Kota Tinggi, Johor.

Menariknya, filem yang menampilkan Nadia Brian selaku watak utama itu turut membariskan 36 pelakon lain.

Antaranya, Amar Asyraf, Mas Khan, Amaris, Fauziah Nawi, Eyra Hazali, Dayang Areeda, Raja Azmi, Aprena Manrose, Datuk Seri Vida, Afzan Rahman dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 12:16 PM