Hisyam baru selesai penggambaran 37 babak bersama Uqasha dalam Rahsia Hati Perempuan. FOTO AZIAH AZMEE


PELAKON, Hisyam Hamid mengakui terkejut apabila pelakon gandingannya dalam drama terbaru Rahsia Hati Perempuan, Uqasha Senrose ditahan polis, semalam.

Hisyam ketika dihubungi berkata, sehari sebelum kejadian itu mereka baru selesai terbabit dalam 37 babak yang kebanyakannya babak berat.

"Ketika penggambaran, dia memberikan sepenuh komitmen hingga pengarah berpuas hati dengan persembahannya.

"Bagaimanapun ketika mendapat berita penangkapan Uqasha, saya terkejut kerana tidak menjangka ia berita buruk," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hisyam, sepanjang sesi penggambaran Uqasha tidak memberi sebarang masalah dan menyifatkan wanita itu seorang 'happy go lucky'.

"Dia profesional dan jaga 'call time'. Pendek kata memang tiada masalah dan senang bekerja dengannya.

"Dia juga seorang pelakon yang berbakat dan saya nampak kelebihan yang ada pada dirinya berbanding pelakon lain," katanya.

Terdahulu Uqasha ditahan polis selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5 di dalam beg tangan miliknya.

Dadah itu ditemui apabila pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 pagi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:11 PM