MAWI. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI, Mawi terkejut apabila muzik video lagu Lara Jiwa nyanyian bersama Datin Seri Rosmah Mansor tular sejak kelmarin.

Mawi atau Asmawi Ani, 37, bagaimanapun tidak mahu perkara itu dipolitikkan kerana lagu itu dirakam pada 2005 iaitu selepas dia menjuarai program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

"Saya faham negara kita baru selesai Pilihan Raya Umum ke-14. Jadi apa saja yang membabitkan artis terutama bersangkut paut dengan pemimpin terdahulu, netizen akan cari semula termasuklah lagu ini.


PAPARAN video karaoke lagu Lara Jiwa nyanyian bersama Datin Seri Rosmah Mansor. FOTO NSTP

"Saya tidak ada masalah lagu ini ditularkan semula, cuma janganlah dipolitikkan atau disalah anggap. Kalau boleh jangan timbulkan cerita buruk. Bagi saya, kita patut lebih bersederhana.

"Lagi pula, saya sebagai penyanyi dan punca pendapatan dalam bidang ini. Menerusi lagu ini, kali pertama saya bekerjasama dengan orang kenamaan selepas habis AF3," katanya kepada Harian Metro.

Mawi yang juga pelakon filem Jin Notti menafikan dirinya mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana pihak seperti didakwa segelintir pihak.

"Mungkin ramai tidak tahu, lagu ini dirakam bagi menjayakan Tabung Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah. Lagu ini dijadikan lagu tema kempen berkenaan. Ia sesuatu yang bagus.

"Namun, apabila ada pihak menuduh dan mempolitikkan perkara ini, bagi saya ia tidak patut. Dalam masa sama, mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

"Apa ingin dikatakan, jangan sekali pernah lupakan kebaikan seseorang kepada kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:31 PM