Izreen kini menjadi lebih penyabar. FOTO OWEE AH CHUN
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PUAS dicaci, maki dan dilontarkan kata-kata negatif membabitkan kontroversi perkahwinan dengan suami orang, pelakon Izreen Azminda mengakui perkara itu membuatkan dirinya menjadi lebih sabar.

Disebabkan itu, Izreen atau Izreen Azminda Aznam, 33, sudah memaafkan semua pihak.

“€œBersempena kedatangan Ramadan ini, saya maafkan semua orang yang selama ini menghina, mengecam dan melemparkan kata-kata negatif terhadap saya. Selepas ini saya tidak mahu lagi bercakap mengenai apa yang berlaku. Cukup-cukuplah.

“€œIbu selalu pesan, kalau kita memaafkan orang lain dalam pada diri kita susah untuk melakukan perkara itu, ketenangan dan kebahagiaan datang sendiri. Alhamdulillah, saya merasainya dan berasa sangat lega.

“€œTidak ada lagi perasaan marah dalam diri. Disebabkan itu juga, saya mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di laman Instagram. Saya tidak mahu ada perbalahan atau komen negatif,”€ katanya kepada Harian Metro.

Izreen ditemui pada majlis pelantikan sebagai duta produk kecantikan berkata dia kini selesa menjalani kehidupan seperti biasa tanpa ambil pusing cakap-cakap orang sekeliling.

“€œMacam dikatakan, saya okey dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya tidak mahu terlalu bercerita apa dilalui semata-mata untuk membuktikan perkara sebenar.

“€œSaya menyerahkan perkara ini kepada Allah dan biar masa menentukan. Allah lebih mengetahui segalanya. Jadi, saya buat biasa saja yang mana menganggap setiap apa yang datang sebagai sesuatu yang positif,”€ katanya.

Mengenai pemilihannya sebagai duta produk, Izreen mengakui terkejut kerana dia terbabit dengan kontroversi hingga dikecam sejak November lalu.

“€œSaya bertanya banyak kali kepada pengasas produk mengenai pemilihan saya. Bukan apa, saya terbabit kontroversi yang sangat teruk.

“€œNamun, pihak mereka kata okey dan tidak mahu lagi mengungkit perkara lalu. Memandangkan ini juga produk baru, jadi mereka mahu kami bangkit bersama,”€ katanya.

Izreen berkahwin dengan Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30 pada 8 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 7:01 PM