Pelakon Nazim Othman dan Bella Dally bercerai. FOTO E-mel
Georgie Joseph


“SAYA kena reda, positif dan ‘move on’,” demikian kenyataan pelakon Bella Dally mengenai berita perceraiannya dengan pelakon Nazim Othman, baru-baru ini.

Bella, 26, tidak menafikan berasa perit dengan keputusan itu, namun bersyukur apabila mendapat sokongan serta kata-kata semangat daripada orang terdekat.

“Saya berusaha cuba untuk tidak memikirkan mengenainya (perpisahan). Alhamdulillah, saya ada keluarga dan rakan yang tanya khabar serta keadaan saya.

“Sekarang ini, saya tidak perlu cakap banyak dah. Semua sudah tahu status saya dengan Nazim.

“Untuk berkongsi mendalam mengenai puncanya, rasanya tak manis untuk dikongsikan. Cukup setakat apa yang semua sudah maklum,” katanya sewaktu ditemui di karnival Celebfest di Singapura.

Pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu turut menafikan tindakannya kerap pulang kampung halaman sendirian kebelakangan ini adalah disebabkan ketegangan yang berlaku antara mereka.

Kata Bella, dia kerap balik ke Sabah disebabkan ingin menjenguk orang tersayang terutama ibu bapanya.

“Saya memang sangat rapat dengan mereka. Sementara mereka masih ada, baik saya gunakan sebaiknya kesempatan itu untuk pulang Sabah.

“Selain itu, saya mahu berjumpa ramai kawan saya di sana,” katanya.

Terdahulu, Nazim dan Bella mengesahkan mereka sudah bercerai menerusi kenyataan di Instagram pada 17 Mei lalu.

Nazim dan Bella berkahwin pada September 2016 dan mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Berita berkaitan

Nazim masih terganggu

Kami dah cerai - Nazim Othman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 12:04 PM