TV3, ntv7 sedia 10 program menarik sepanjang puasa.
Michelle Gun


Meraikan Ramadan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad memperkenalkan 41 program, telefilem, drama bersiri dan kartun.

Beberapa program seperti Nona dan Jalan-Jalan Cari Makan mengetengahkan kelainan pengisian sempena bulan mulia ini.

Selain itu, program Jejak Rasul dan Sembang Sahur kembali dengan informasi menarik dan berilmiah buat tatapan penonton.

Berikut antara 10 program menarik sepanjang Ramadan yang ditayangkan di TV3 dan ntv7.

Nur, TV3 (Isnin - Khamis, 10 malam)

Drama 19 episod ini mengisahkan ustaz kacak bernama Adam bakal dijodohkan dengan kenalan keluarganya, Qhadeeja.

Adam mula diuji dengan kehadiran Nur. Dia tertarik dengan keteguhan Nur terhadap Allah SWT meskipun bergelar pelacur. Karya ini membariskan pelakon hebat iaitu Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah dan Datuk Jalaludin Hassan.

Halalkan Hati Yang Ku Curi, TV3 (Isnin - Jumaat, 7 petang)

Bakal bersiaran 23 Mei ini, drama bersiri ini memaparkan kehidupan pasangan suami isteri muda yang suka berhibur.

Selepas sebulan tidak pulang, pasangan terbabit terkejut apabila mendapati kediaman nenek mereka sudah dijual.

Sejak itu, mereka mula belajar berdikari dan memahami erti kehidupan sebenar. Bagaimanapun, kehidupan mereka mula kacau bilau dengan kehadiran orang ketiga. Drama ini dibintangi Farah Nabilah, Aliff Aziz, Shah Iskandar, Mimi Lana dan Normah Damanhuri.

Mama Terer Ke? TV3 (Isnin & Selasa, 11 malam)

Siri lapan episod ini cuma bersiaran selama 10 minit dan disiarkan pada 21 Mei.

Ikuti gelagat lucu Mama Terer melayan kerenah suami, anak perempuan dan lelaki yang sangat aktif.

Sempena Ramadan, Mama Terer akan mengajar kedua-dua anaknya nilai murni dengan menggunakan pendekatan yang cukup unik dan kelakar. Saksikan aksi Sharifah Shahirah dan Datuk Sri Eizlan Yusuf menerusi drama ini.

Demi Hati Arjuna, TV3 (27 Mei, 9 malam)

Mengisahkan Alia yang menghidap penyakit hati mengimbau kembali masa silamnya yang liar.

Alia sukar mencari penderma kerana miskin. Dia kemudian teringat anaknya, Arjuna yang dilahirkan 12 tahun lalu, namun terpaksa diserahkan kepada orang lain kerana Zafran enggan bertanggungjawab.

Timbul rasa kesal dalam hatinya. Dia rindukan Arjuna dan mahu meminta maaf kepada anaknya itu. Drama ini dijayakan Nad Zainal, Mohd Danish Hazriq, Idris Khan dan Zul Huzaimy.

Ketupat Buat Nenek, TV3 (2 Jun, 9 malam)

Telefilem ini mengisahkan Dian diserahkan kepada neneknya, Mak Ainun selepas ibu bapanya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati akibat kesalahan dadah.

Dian mendambakan kasih sayang Mak Ainun namun wanita itu bersikap dingin terhadapnya. Karya ini dibintangi Ku Faridah, Miltida, Delimawati, Fauzi Nawawi dan Elly Mazlein.

Jom Berbuka, TV3 (setiap Ahad, 5.30 petang)

Program empat episod ini membawa penonton menyaksikan selebriti tanah air berbuka puasa bersama ahli keluarga.

Saksikan kelincahan selebriti menyediakan juadah berbuka sambil berkongsi perkembangan baru hidup mereka. Antara selebriti yang terbabit dalam program ini ialah Amyra Rosli, Amar Baharin, Aiman Tino, Fara Fauzana, Nabil Ahmad, Faizal Ismail dan Abam Bocey.

Apa Nak Makan Ni? TV3 (setiap Sabtu, 6 petang)

Menampilkan Cef Naem sebagai pengacara, program ini memberi jalan penyelesaian kepada penonton lokasi terbaik untuk berbuka puasa.

Penonton bertuah kalau terserempak dengan Naem dan selebriti jemputan sewaktu mengunjungi lokasi yang diperkenalkan. Antara selebriti yang menjayakan program ini ialah Aprena Manrose, Afifah Nasir, Bell Ngasri, Fify Azmi, Lana Nordin, Ben Amir, Nadzmi Adhwa dan Betty Rahmad.

Nafas, ntv7 (Isnin - Jumaat, 8.30 malam)

Selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga, Khadijah menyenaraikan beberapa impian untuk dicapai.

Menyedari akan tahap kesihatannya semakin merosot, Khadijah tidak yakin dia boleh berjaya.

Sementara itu, Amar yang juga pesakit leukemia secara senyap menyusun strategi untuk merealisasikan impian Khadijah. Karya ini dibintangi Kilafairy, Erwin Dawson, Sarah Hildebrand, Fahad Iman dan Hefny Sahad.

Cik Shopaholic, ntv7

(27 Mei)

Telefilem ini mengisahkan dua individu, Razi dan Hezliza yang mempunyai sikap bertentangan.

Keluarga ingin menyatukan mereka dengan harapan dapat mengubah sikap masing-masing.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan ini membuka restoran dan perniagaan mereka berjalan lancar.

Suatu hari, bekas kekasih Razi muncul menyebabkan Hezliza tertekan sehingga kembali kepada perangai lamanya iaitu membeli-belah demi mengurangkan tekanan. Telefilem ini membariskan Ungku Ismail, Puteri Aisyah dan Syerinie sebagai teraju utama.

Selera Sado, ntv7 (setiap Khamis, 7.30 malam)

Saksikan Sherson bersama selebriti berbadan sasa bertukar tip kesihatan untuk diamalkan sepanjang Ramadan.

Selain itu, penonton yang aktif bersenam dapat melihat menu sihat yang disediakan dalam program ini. Selain Sherson, program ini dimeriahkan dengan kehadiran Norman Hakim, Nazrief Nazri, Fahrin Ahmad dan One Forteen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 10:58 AM