SITI Badriah.
Ardini Sophia Sina

Sejak kebelakangan ini, lagu berjudul Lagi Syantik nyanyian Siti Badriah mula menjadi siulan.

Ada juga yang melakukan parodi tarian lagu itu termasuk beberapa artis tempatan seperti Fasha Sandha dan Wani Kayrie.

Lagu terbabit mencatat lebih 22 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada 22 Mac lalu.

Walaupun rezeki semakin melimpah, penyanyi dangdut yang mesra disapa Sibad ini agak memilih tawaran sepanjang Ramadan ini.

Katanya, sama seperti orang lain, dia juga ingin memanfaatkan bulan mulia ini untuk menambah pahala. Dia ingin lebih khusyuk dalam menjalani ibadat puasa.

“Saya memilih tawaran kerja bukan saja-saja. Saya ingin lebih khusyuk menjalani ibadat puasa pada tahun ini berbanding tahun lalu. Banyak terbabit dengan aktiviti serta majlis membuatkan saya sukar mengatur jadual untuk ibadat.

“Tidak dinafikan, bulan puasa waktu paling sibuk untuk sesetengah artis dan ia kesempatan terbaik untuk menambah rezeki. Bagaimanapun, menjalani ibadat puasa itu juga penting untuk pahala,” katanya.

Ramadan kali ini, Sibad juga memanfaatkan waktu ini untuk melancarkan single ketuhanan dalam sebuah kompilasi bersama artis di bawah naungan Nagaswara.

Penyanyi berusia 26 tahun ini memilih untuk menyanyikan lagu ciptaan Yogi RPH berjudul Astaghfirullah.

“Hidup di dunia hanya sementara. Lirik ini mengingatkan diri sendiri mengenai cara hidup sebelum ini. Kita ke sana sini dan beli apa saja yang kita suka, tetapi ia tidak dapat dibawa mati.

“Ketika menjalani penggambaran klip video lagu itu, saya menangis. Tangisan itu juga bukan dibuat-buat, ia memang lahir daripada hati. Saya tidak tahu kenapa air mata mengalir, mungkin kerana ingat dosa sendiri,” kata wanita kelahiran Bekasi, Jawa Barat itu.

Sebagai seorang pelakon sinetron dan penyanyi dangdut, dia mengakui agar sukar untuk menyanyikan lagu ketuhanan kerana ia tidak memerlukan tarian atau goyangan badan yang keterlaluan.

Walaupun susunan muzik diselitkan sedikit unsur dangdut, bagaimanapun ia bukanlah karya yang sesuai untuk ditarikan kerana lirik yang menjurus pada keagamaan dan keinsafan.

“Saya akui agak sukar menjalani penggambaran untuk klip video lagu Astagfirullah. Nyanyiannya juga agak sukar ketika mengadakan persembahan. Kalau lagu biasa boleh goyang sana sini.

“Tetapi, untuk lagu Ketuhanan tidak sesuai untuk saya menari walaupun muziknya agak rancak. Saya sendiri tidak tahu sama ada perlu berdiri kaku atau boleh melakukan sedikit goyangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 3:49 AM