Noorkhiriah kena kecam teruk menerusi Nur. FOTO INSTAGRAM NOORKHIRIAH
Michelle Gun


PELAKON Noorkhiriah Ahmad Shapie, 41, tidak sangka lakonannya dalam drama bersiri Nur meninggalkan kesan besar kepada penonton sehingga dikecam teruk di media sosial.

Menurut Noorkhiriah, ramai penonton kurang senang dengan wataknya, Aishah kerana berperwatakan dianggap terlalu melampau sebagai muslimah.

"Baru siar episod pertama, sudah macam-macam kecaman netizen lemparkan. Sampai jam 2 pagi saya masih membaca komen di media sosial.

"Saya tidak kisah dikecam dan menganggap peluang berlakon dalam Nur sebagai rezeki kerana selama ini banyak membawa watak gadis kampung," katanya.

Pelakon itu memberitahu ada netizen bertindak menutup bunyi televisyen atau menukar ke siaran lain kerana tidak sanggup mendengar dia memaki hamun.

"Aishah wanita alim yang berasal dari keluarga penceramah terkenal. Dia berubah sikap apabila adik lelaki dia bercinta dengan pelacur.

"Sewaktu penggambaran, kejahatan Aishah tidak terselah dan skrip juga sentiasa dikembangkan.

"Saya difahamkan ramai penonton tidak sanggup melihat wanita bertudung labuh berperangai buruk dan memaki hamun," katanya.

Noorkhiriah berkata, drama 19 episod arahan Shahrulezad Mohameddin itu mengetengahkan cerita berbeza yang memerlukan penonton berfikir.

"Nur bukan cerita ringan. Saya gembira kerana secara tidak langsung dapat berdakwah kepada orang ramai menerusi drama ini.

"Mesej disampaikan adalah jangan menilai orang dari luaran, yang penting hati bersih," katanya.

Drama Nur boleh disaksikan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 8:23 PM