VIDEO lirik Meskipun Kau Tahu, Projector Band catat lebih 5 juta tontonan di YouTube.
VIDEO lirik Meskipun Kau Tahu, Projector Band catat lebih 5 juta tontonan di YouTube.
Norhayati Nordin


Sepanjang dua tahun memahat nama dalam industri seni tanah air, Projector Band tidak dapat lari daripada kontroversi dan gosip.

Bermula dengan dakwaan sombong, band ini juga dikatakan lupa diri, meletak harga tinggi untuk persembahan dan terbaru, vokalisnya datang lewat ke satu program bual bicara TV.

Malah, tahun ini tidak banyak cerita membabitkan Projector Band disiarkan media biarpun mereka muncul dengan single baru berjudul Meskipun Kau Tahu.

Apakah populariti sekelip mata pernah diraih Projector Band menerusi single Sudah Ku Tahu pada 2016 kian pudar?

Atau adakah dakwaan mengenai sikap mereka sebelum ini membuatkan Projector Band semakin kurang mendapat publisiti?

Mengulas mengenai perkara itu, Iskandar Zulkarnain Shafin atau Is selaku vokalis Projector Band menafikan populariti mereka semakin jatuh.

“Projector Band masih popular kerana single baru kami mendapat sambutan baik.

“Malah, video lirik Meskipun Kau Tahu yang dimuat naik di YouTube sejak empat bulan lalu mencatat lebih 5 juta tontonan.

“Baru sebulan muzik video dimuat naik dengan kurang publisiti, kami gembira ia mencatat 4 juta tontonan,” katanya.

Menjelaskan kontroversi lama berkaitan perilaku anggota Projector Band yang kembali hangat diperkatakan jelas Is, dia hanya mampu meminta maaf.

Katanya, sebagai insan biasa dia dan rakan-rakannya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Apapun, ingin saya tegaskan bahawa kami (Projector Band) tidak sombong terutama dengan peminat.

“Kami juga tidak lupa diri. Hingga ke hari ini masih ingat asal usul kami dari Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kami juga tidak pernah meletak harga tinggi untuk persembahan,” katanya.

Namun, Is mengakui kesilapannya tiba lewat ke lokasi program buat bicara TV bagi mempromosikan single Meskipun Kau Tahu.

“Saya mengaku kesilapan ini. Saya lewat kerana tertidur dalam kereta.

“Saya sudah minta maaf kepada pihak produksi. Bagi saya semuanya sudah selesai,” katanya.

Is yang mengikuti pengajian Ijazah Al-Quran & Sunah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, dia kini membahagikan masa antara karier nyanyian dan pelajaran.

Ujarnya, dia akan pastikan perjalanan karier seni dan pelajaran bergerak seiring memandangkan ada komitmen untuk single baru.

Hingga kini, Projector Band sudah muncul dengan empat single iaitu Sudah Ku Tahu, Pasti Ada Kamu, Aishah dan Meskipun Kau Tahu.

Selain Is, Projector Band dianggotai Razif Zainuddin atau Razif sebagai pemain gitar utama, Isnaidi Eidham Razali (Eddy, gitar kedua), Ahmad Khusairi Saferi (Mat, pemain bass) dan Syafiq Zainuddin (Apit, pemain dram).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 4:24 AM