Amyra Rosli. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Amyra Rosli. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON, Amyra Rosli, 26, yang memegang watak pelacur dalam drama bersiri paling diperkatakan pada masa ini berjudul Nur akui terkejut dengan maklum balas yang diterimanya.

"Terkejut juga dengan maklum balas penonton dan saya anggap ia 'comeback' terbaik kerana kehadiran diterima semula oleh peminat.

"Apa saja orang kritik pasal saya atau jalan cerita drama ini, saya tidak mahu ambil hati," katanya.

Baginya, peminat yang sering memberi pelbagai komen sama ada baik atau buruk pasal drama ini adalah sangat membantu.

Terutama dalam membentuk dirinya menjadi pelakon yang lebih baik di masa depan.

Amyra mengakui banyak belajar perkara baru mengenai isu yang diangkat melalui drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu.

"Jujurnya, pada awal saya tidak berapa suka bawa watak gelap (sebagai pelacur) ini tetapi disebabkan jalan cerita dan karakter di sebalik kejadian buatkan saya terkesan," katanya.

Drama Nur yang bersiaran di TV3 disifatkan penonton sebagai sebuah karya Islamik yang penuh dengan isu kontroversi.

Antara diperkatakan adalah isu watak ustaz melanggan pelacur dan menyalahguna wang anak yatim atas kepentingan diri.

Drama itu disiarkan sejak 14 Mei lalu pada pukul 10 malam setiap Isnin hingga Khamis di slot Samarinda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 2:09 PM