PENERBIT, Datuk A Aida. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT, Datuk A Aida berkongsi bakal menyambut Aidilfitri di sembilan negara Eropah.

Antaranya, Belanda, Itali, Jerman, Switzerland, England, Perancis, Austria, Monaco dan Republik Czech

Aida atau Zaidah Awang, 47, berkata, itu kali pertama dia beraya di luar negara bersama tiga anak, Wan Az Aleesa, 22, Wan Azevanatassha, 17, dan Muhammad Rahul, 10.

"Insya-Allah saya bertolak 14 Jun ini iaitu pada malam raya dan pulang ke tanah air pada 1 Julai. Saya tiba di Amsterdam, Belanda dulu sebelum bertolak ke destinasi lain.

"Pastinya ini memberikan pengalaman baru buat saya bersama tiga anak apatah lagi percutian kami pada bulan Syawal. Saya nak juga merasai suasana beraya di perantauan.

"Dalam masa sama, kedua ibu bapa sudah meninggal dunia dan adik beradik pula beraya di rumah mentua masing-masing. Disebabkan itu saya ambil keputusan untuk beraya di luar negara," katanya kepada Harian Metro.

Aida yang ditemui pada majlis iftar Salam HD dan Unifi TV berkata, ini sambutan Aidilfitri pertama sebagai anak yatim piatu.

Berkongsi mengenai penggambaran filem pertama terbitan syarikatnya, A Aida Productions iaitu Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, Aida berkata kru dan pelakon berdepan pelbagai cabaran.

"Lokasi penggambaran dijalankan di kawasan hutan Gunung Panti, Kota Tinggi, Johor. Jadi, macam-macam kejadian pelik berlaku. Ada kru kena demam denggi, malaria dan patah tangan.

"Namun, penggambaran tetap diteruskan. Alhamdulillah, buat masa sekarang semuanya berjalan lancar dan dapat diatasi dengan baik. Insya-Allah penggambaran selesai dalam tempoh 10 hari lagi," katanya.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda menampilkan pelakon seperti Nadia Brian, Amar Asyraf, Firman, Mas Khan, Eyra Hazali, Dayana Areeda, Fauziah Nawi, Aprena Menrose, Raja Azmi dan Datuk Fizz Fairuz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 4:31 PM