Zizan nak kahwin tahun depan. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON


“SAYA tahu anda semua sudah tahu cuma saya tidak akan sebut," kata pelakon Zizan Razak yang enggan mendedahkan gerangan sebenar wanita sedang dikenalinya.

Zizan ditemui Harian Metro berkata, dia lebih selesa merahsiakan identiti wanita itu kerana masih dalam proses perkenalan.

“Buat masa ini lebih baik saya rahsiakan, kami masih dalam proses berkenalan.

"Insya-Allah saya akan kongsikan apabila sudah tiba masanya nanti,” katanya pada majlis berbuka puasa Rocketfuel di Hotel Eastin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Zizan, dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya tahun hadapan.

“Saya memang berniat untuk berkahwin dalam tempoh terdekat, bukan tahun ini mungkin tahun hadapan.

"Segalanya masih dalam perancangan. Saya percaya segala sesuatu yang berlaku adalah atas izinNya.

“Ini kerana ada beberapa perkara yang saya nak tapi ada yang tak dapat. Begitu juga dengan perubahan kerajaan baru berlaku dengan izin Allah. Malah perceraian juga berlaku kerana IzinNya walaupun Allah tidak suka.

“Jadi saya percaya setiap yang berlaku ini ada hikmahnya. Saya tidak terburu-buru soal ini sebaliknya berserah kepada takdir Ilahi,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 4:24 PM