Kamal Adli harapkan doa yang baik baik. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON popular, Kamal Adli sedar dirinya akan dihujani soal nikah dan jodoh dalam kalangan keluarga dan teman menjelang Aidilfitri bakal tiba.

Bagaimanapun Kamal, kini akrab dengan pelakon molek, Emma Maembong mengatakan dia tidak mengeluh atau membenci setiap kali diajukan soal seumpama itu.

Kamal yang akan menyambut hari raya di Pekan, Pahang berkata, saban tahun dia mengharapkan Aidilfitri tahun ini adalah terakhir disambut sendirian.

“Kalau ikut hati, memang saya mahu menjadikan Aidilftri kali ini sebagai sambutan raya terakhir sebagai orang bujang.

“Tapi siapalah saya untuk bercakap soal jodoh kerana ia ketentuan Allah. Bagaimanapun saya mengharapkan orang bertanya itu mendoakan yang baik-baik untuk saya,” katanya.

Walaupun selama ini kerap dikaitkan dengan Emma, jelas Kamal dia memang tidak berani bercakap soal jodoh dengan pelakon terbabit.

“Kalau benar sudah tertulis jodoh saya dengan dia, saya menerima dengan tangan terbuka. Namun selagi belum ada jodoh biarlah kami berkawan seperti biasa, katanya.

Ditanya mengenai hari raya dan mungkinkah dia akan beraya bersama Emma tahun ini, Kamal menjawab ‘teman tapi mesra’ itu akan mengikut ayahnya pulang berhari raya di Terengganu.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana tetapi kalau ada peluang dan diizinkan Allah, saya akan ke sana untuk beraya dengan Emma dan keluarganya memandangkan dari Pekan ke Kuala Terengganu, tidaklah jauh sangat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 6:50 PM