Syafil Syazwan Jefri

Bagi mereka yang membesar pada awal milenium, tentunya masih ingat dengan filem Blok 404 yang pernah menjadi bualan sekitar 2001.

Terbaru, filem yang asalnya dihasilkan dalam bentuk video cakera padat diangkat ke layar lebar dengan judul sama.

Bergenre seram cemas, Blok 404 memaparkan naratif baru yang tiada kaitan dengan karya terdahulu dan menariknya menyelitkan beberapa elemen sesuai dengan peredaran zaman.

Diarahkan Isma Yusoof, Blok 404 mengisahkan sekumpulan remaja yang terperangkap di resort yang terletak di tengah hutan.

Dalam pada menikmati kehidupan sebagai remaja yang terjebak dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral, mereka sebenarnya terperangkap dalam kalangan pesakit mental.

Dari situ, penonton dibawa ke satu situasi yang mencemaskan apabila beberapa plot diubah dan membuatkan penonton tak mampu membuat jangkaan.

Lebih menarik, Blok 404 mengekalkan beberapa pelakon asalnya iaitu Boy Iman, Raja Azrey dan Zamarul Hisham.

RAJA Azrey (kiri) antara pelakon asal Blok 404.
RAJA Azrey (kiri) antara pelakon asal Blok 404.

Selain itu, filem ini turut dijayakan Nur Risteena, Amar Asyraf, Nadia Brian, Aedy Ashraf, Adrea Abdullah, Fasha Sandha, Kamal Adli, Kilafairy, Azrel Ismail, Izreen Azminda dan Taufik Hanafi.

Isma berkata, dia sudah menjangkakan beberapa babak akan dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Sebagai pengarah, saya sudah jangkakan babak mana yang akan dipotong tetapi syukur jumlahnya tidaklah terlalu banyak.

“Saya dan semua kru produksi memberanikan diri melakukan sesuatu yang di luar kriteria sepatutnya. Kalau lepas, lepaslah dan jika sebaliknya, tak mengapa,” katanya.

Bagi Boy Iman yang juga penerbit filem ini, dia mengharapkan Blok 404 diterima baik penonton.

ISMA memberi penerangan kepada pelakon.
ISMA memberi penerangan kepada pelakon.

“Filem ini sudah ada jenamanya tersendiri dan saya yakin ramai menantikan kehadirannya. Ia berbeza dengan filem yang pernah diterbitkan 17 tahun lalu,” katanya.

Risteena pula menganggap ini peluang terbaik untuk mengembangkan karier seni.

“Saya tak pernah berlakon di bawah arahan Isma dan bila dapat peluang ini, saya terus terima.

“Menurut penerbit eksekutif, Kam Abd Manaf, agak sukar untuk pihaknya mencari pelakon bagi melakonkan watak Misha yang saya bawa.

“Jadi, itu buatkan saya rasa lebih teruja dan berbesar hati kerana dipilih,” katanya.

Filem yang menelan kos RM800,000 ini akan menggegarkan pawagam tempatan bermula hari ini dan pasti menerima pelbagai reaksi.

ANTARA babak dalam hutan.
ANTARA babak dalam hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 2:21 AM