Boy Iman akui kontroversi tarik ramai pihak menegurnya. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Boy Iman akui kontroversi tarik ramai pihak menegurnya. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Datuk Boy Iman, 38, yang juga penerbit filem Blok 404 yang ditayangkan bermula semalam mengakui tidak mahu terlalu memikirkan mengenai tindakan beberapa pihak memboikot filem itu.

Menurutnya, sebelum ini, dia pernah diboikot sewaktu mementaskan Kontena 404 di Istana Budaya (IB) pada 2017.

“Saya pernah melalui pengalaman kononnya karya saya diboikot oleh beberapa pihak ketika saya buat pementasan teater Kontena 404 tapi ramai juga datang menonton.

“Jadi, untuk kali ini pun saya tak mahu terlalu ambil pusing mengenai boikot untuk filem ini pula kerana saya yakin, rezeki, ajal dan maut semuanya di tangan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Boy atau Nuruliman A Rahman, juga pelakon filem itu menambah, semua kontroversi pernah melanda dirinya digunakan sebaik mungkin untuk menaikkan filem ini.

“Bagi saya, seburuk-buruk kontroversi adalah sebaik-baik publisiti. Saya harap, apa berlaku kepada saya membantu filem ini.

“Dengan adanya kontroversi itu, ramai orang nak menegur dan bercakap dengan saya. Padahal, sebelum ini, tak ada orang peduli pun pada saya,” katanya.

Boy berharap agar masyarakat hari ini dapat mengubah pemikiran dan menjadi lebih terbuka untuk menerima karya terbarunya ini.

Selain Boy, filem Blok 404 turut dibintangi beberapa pelakon lain antaranya Raja Azrey, Zamarul Hisham, Nadia Brian, Nur Risteena dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 3:46 PM