ANUAR Chew Kin Wah
Amirul Haswendy Ashari

Bakat pelakon Malaysia bukan tidak boleh pergi jauh melangkaui sempadan negara. Ada yang mencipta sejarah peribadi, tidak kurang juga sejarah negara tercinta.

Malah, tidak mustahil bakat ini mampu dicalonkan dalam senarai anugerah berprestij dunia perfileman antarabangsa seperti Oscar satu hari kelak.

Antara nama besar yang pernah mencipta nama di luar negara ialah Tan Sri P Ramlee, Puan Seri Tiara Jacquelina dan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Sebagai motivasi kepada bakat baru, Bling! minggu ini menyenaraikan 10 pelakon tempatan yang pernah menang anugerah di dalam dan luar negara serta berpotensi mengembangkan sayap di peringkat global seandainya terus diberi peluang.

Anuar Chew Kin Wah

Pelakon asal Ipoh, Perak ini mula mencipta legasi tersendiri di Indonesia selepas menang Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik melalui filem Cek Toko Sebelah pada Indonesian Box Office Movie Awards 2017 (IBOMA 2017), Festival Filem Tempo (FFT), i-Cinema Awards dan Anugerah Piala Maya-6, tahun lalu.

Selepas filem Che Toko Sebelah dan My Stupid Boss, dia mula melebarkan sayap melalui lakonan berkesan dalam filem Dimsum Murtabak, Terbang, Susah Sinyal, Surat Kecil Untuk Tuhan yang semuanya terbitan syarikat produksi seberang.

Bront Palarae

Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin sudah membintangi lebih 40 filem dan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ke-14 (ASK14), ASK18 dan Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM) melalui filem Belukar dan Psiko Pencuri Hati, bintangnya semakin bersinar.

Meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Asean 2015 melalui filem Terbaik Dari Langit membuka mata pengkarya luar untuk bekerjasama dengan aktor ini.

Dia bukan saja beraksi dalam drama bersiri Halfworlds terbitan HBO arahan Joko Anwar, malah persembahanya menerusi filem pecah panggung Indonesia, Pengabdi Setan arahan pengarah sama mengangkat kedudukannya ke tahap lebih tinggi.

Bront pernah dicalonkan dalam kategori Aktor Terbaik Anugerah Indonesia Box Office Movie (IBOMA) 2018 dan Aktor Pembantu Terbaik di Festival Filem Tempo, Indonesia.


BRONT Palarae

Nam Ron

Mutakhir ini, nama Nam Ron hangat diperkatakan berikutan filem arahannya, One Two Jaga di bawa ke beberapa festival filem antarabangsa.

Malah, filem yang juga menggunakan judul antarabangsa, Crossroads: One Two Jaga itu tercalon dalam kategori Filem Cereka Terbaik Festival Filem Asia ke-17 di New York 2018 (NYAFF).

Sebelum itu, anak jati Perlis ini pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kazan di Kazan, Russia pada September 2016 melalui filem Redha.

Dia turut melakar kejayaan sama di Anugerah Skrin 2016 menerusi filem sama.


NAM Ron dan June.

June Lonjong

Nama June Lojong mungkin agak baru kepada peminat filem tempatan tetapi hakikatnya isteri kepada Nam Ron ini punya aura tersendiri apabila beraksi di layar perak.

Mampu menjiwai watak dengan baik melayakkan June mendominasi trofi Pelakon Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Perdana Antarabangsa 2016 di Manila, Filipina melalui filem Redha.

June berpotensi besar melangkah lebih jauh seandainya terus diberi peluang beraksi dalam karya bersifat estetika.

Puteri Balqis

Kejutan paling tidak dijangka apabila pelakon kanak-kanak ini diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik (kategori Drama) pada acara Anugerah Televisyen Asia 2014.

Dia berjaya menundukkan pelakon Joan Chen yang sebelum ini mencipta nama melalui filem Hollywood termasuk The Last Emperor dan Judge Dredd.

Pada usia sembilan tahun, dia turut menang kategori sama pada acara Anugerah Skrin ke-18 (ASK18).

Pembabitan awal, dia pernah menang Anugerah Artis Harapan Pantene di ASK16.

Melihat senarai kejayaan yang diraih pada usia muda, tidak mustahil Puteri Balqis ada peluang cerah untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.


PUTERI Balqis

Zahiril Adzim

Pelakon ini mula mencipta kejayaan peribadi apabila menang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik melalui filem Kami The Movie di Festival Filem Malaysia ke-22.

Dikenali dengan watak Daim menerusi drama bersiri dan filem Juvana, Zahiril meraih pengiktifan antarabangsa melalui filem Pekak dengan membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik acara International Motivational Film Festival Bridge Of Arts 2016 (IMFF 2016) yang berlangsung di Russia pada Ogos 2016.

Dia antara pelakon yang membintangi filem One Two Jaga yang kini dicalonkan dalam kategori Filem Cereka Terbaik Festival Filem Asia ke-17 di New York 2018 (NYAFF).


ZAHIRIL Adzim

Maya Karin

Kejayaan Maya mengungguli gelaran Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) di Fukuoka, Jepun 14 tahun lalu membuktikan pelakon wanita tempatan boleh mencipta nama di peringkat Asia menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Dia berjaya mengulangi jejak gemilang yang pernah diraih pelakon Puan Seri Tiara Jaqcuelina melalui filem Puteri Gunung Ledang pada 2005.

Maya turut mencipta sejarah tersendiri menerusi sekuel filem itu apabila meraih anugerah sama di Festival Filem Espano Terrror & Fantasy di Sepanyol pada 2005.

Lakonannya menerusi filem Nota turut diiktiraf apabila menang anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2016.


MAYA Karin

Datuk Afdlin Shauki

Kemanisan pertama diraih pelakon, pelawak, pengacara dan sutradara ini adalah apabila memenangi kategori Penyampai Terbaik Anugerah Televisyen Asia 1999.

Kemudian, pada 2001 Afdlin membuktikan dirinya artis serba boleh apabila diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-15 (FFM15)pada 2001 menerusi filem Soal Hati.

Beliau turut mencipta sejarah peribadi apabila filem arahannya, Papadom menang lima anugerah di FFM22 bagi kategori Filem Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Filem Papadom turut mendapat pengiktirafan luar negara apabila menang Anugerah 3rd out of 12 Audience di Osaka Asian Film Festival pada 2010.

Beliau kini bekerjasama dengan produksi Hollywood bersama pengarah Roger Christian untuk menerbitkan filem Sandakan Tears menampilkan pelakon X-Men, Hugh Jackman.


AFDLIN Shauki

Shaheizy Sam

Pelakon berkaliber ini tidak dinafikan mempunyai aura dan persembahan lakonan yang cukup hebat terutama selepas mencipta populariti melalui filem Adnan Sempit.

Antara buktinya apabila lakonannya melalui filem Polis Evo mencatat kutipan pecah panggung tertinggi pada tahun 2015.

Sam juga pernah mengungguli trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 melalui filem Kongsi.

Setahun sebelum itu, dia menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Evolusi KL Drift) pada FFM23.

Kemanisan berganda apabila persembahan mantapnya dalam filem Songlap melayakkan dia diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ke-16 dan Festival Filem Antarabangsa Asean 2013 (AIFFA 2013) sekali gus menewaskan calon hebat seperti Gurmit Singh (Singapura) dan Jericho Rosales (Filipina).


SHAHEIZY Sam

Syamsul Yusof

Anak produser tersohor Datuk Yusof Haslam ini tidak dapat dipertikai lagi kehebatannya. Kredibilitinya sudah terbukti melalui beberapa siri anugerah filem dalam dan luar negara.

Trofi pertama pernah dimenanginya adalah pada acara Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) bagi kategori Keberkesanan Aksi Lasak Di Layar Perak melalui filem Evolusi KL Drift.

Selepas itu, dia terus mengungguli kedudukan apabila menang Pengarah Terbaik FFM23 melalui Evolusi KL Drift 2, FFM24 (KL Gangster), FFM28 (Munafik).

Menerusi filem seram Munafik juga, dia membawa pulang trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 tahun lalu.


SYAMSUL Yusof

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 4:37 AM