Becky letak jawatan kerana kecewa gaji tidak dilunaskan oleh Boy Iman (kanan). FOTO Becky
Becky letak jawatan kerana kecewa gaji tidak dilunaskan oleh Boy Iman (kanan). FOTO Becky
Ridzuan Abdul Rahman


PENGURUS Besar DBI Entertainment, Liyana Zulkifli atau Becky mengumumkan perletakkan jawatannya di syarikat itu berkuatkuasa 12 Julai ini kerana kecewa dengan sikap majikannya, Datuk Noruliman A Rahman atau Boy Iman yang tidak melunaskan gaji.

Becky menyertai syarikat terbabit sejak Oktober 2017 mengakui turut kecewa kerana sering bertugas di luar bidang kerja.

“€œSaya tak pernah terima gaji sepatutnya sejak mula bekerja seperti tertera dalam kontrak. Kerja turut melangkaui bidang tugas dipersetujui tanpa ada tambahan elaun lain seperti ditetapkan dalam Akta dan Peraturan Perburuhan.

“Paling mengecewakan pembayaran gaji tak pernah menepati tarikh ditetapkan.

“€œSaya menuntut dia melunaskan gaji berjumlah RM17,200 kerana ia wang titik peluh saya bekerja selama ini,”€ katanya kepada Harian Metro.

Menurut Becky, dia melalui kesengsaraan dan kesusahan sepanjang bertugas bersama DBI Entertainment sehingga terpaksa meminjam wang dengan orang lain.

“Ada beberapa kali saya tak dapat hadir bekerja kerana tiada wang langsung dalam tangan. Tuntutan kerja lebih masa tak pernah dibayar.

“Saya berharap pihak terbabit dapat menyelesaikan gaji saya sebelum 10 Julai ini. Sekiranya gagal berbuat demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang.

“Selama ini saya bersabar biarpun dikutuk Boy Iman apabila dikatakan meroyan kerana minta gaji sendiri. Saya dibuli untuk bekerja sehingga mengalami tekanan perasaan,” katanya.

Tambah Becky, dia menguatkan semangat bertahan kerana berharap Boy Iman dapat membayar gajinya dan tak mahu menerima nasib sama seperti staf lain yang sudah berhenti kerja.

“Tapi saya tetap hampa kerana dia seolah-olah tak memperdulikan nasib saya,” katanya.

Sepanjang bekerja, Becky pernah menguruskan pementasan teater Kontena 404 di Istana Budaya dan filem Blok 404 yang sedang menemui penonton di pawagam.

Sementara itu, Boy Iman dihubungi mengakui kebenaran kenyataan dikeluarkan Becky tetapi kecewa apabila dihebohkan kepada masyarakat.

“Saya tahu perkara ini dan ia bersifat hal dalaman. Becky memang setia dengan kami dan beraya dengan keluarga saya pada Aidilfitri.

“Apabila saya ditangkap sebelum ini, syarikat kelam kabut kerana orang dah tak percaya dan tiada jualan yang dibuat.

“Saya akui apabila akaun syarikat dibekukan, saya berdepan masalah membayar gaji pekerja. Gaji Becky dibayar tapi bukanlah secara penuh,” katanya.

Boy Iman mempertikaikan mengapa Becky boleh berubah fikiran sedangkan selama ini dia boleh bertahan dengan syarikatnya.

“Becky sudah lebih setahun bersama syarikat terbabit dan dah dianggap seperti saudara. Saya berlapang dada terima keputusannya dan ucapkan selamat maju jaya kepadanya.

“Berkenaan gaji, saya mengakui tengah susah sekarang tapi berjanji akan bayar kepadanya seperti tempoh yang ditetapkan. Saya tak nak bergaduh. Saya harap dia memahami masalah dihadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 7:30 PM