SHARIFAH Sakinah. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari


“DENGAN rasa penuh hormat, tolong berambus!” tulis pelakon Sharifah Sakinah, 29, di IG Story laman sosial Instagram miliknya, hari ini.

Ia dipercayai susulan dakwaan dibuat seorang individu yang menuduh suaminya mempunyai hubungan dengan seorang pramugari.

Melalui pesanan yang dihantar secara peribadi (DM), individu itu mendakwa suami Sakinah, Aliff Adha mempunyai hubungan sulit melalui sekeping foto yang turut dikongsikan bersama pesanan terbabit.

“Perhatian kepada orang luar yang tidak tahu tentang kehidupan dan hubungan rumah tangga saya, dengan rasa penuh hormat tolong berambus.

“Kami tidak perlukan perhatian atau tuduhan tidak berasas dalam kehidupan peribadi saya. Siapa anda pelik gila,” tulisnya.

Pada paparan dikongsikan Sakinah, individu berkenaan turut menasihati pelakon itu supaya bertabah.

“Salam kak Sharifah, saya nak tanya tapi bukan nak menuduh. Cuma saya dapat gambar ini dari IG seorang perempuan ni.

“Harap kak Sharifah tabah walau apa pun jadi dalam hidup, I janji tak akan bagitahu tentang ni. I perasan dari dulu lagi sebab perempuan tu pramugari,” tulis individu itu.

Sakinah ketika dihubungi berkata, dia enggan mengambil tindakan terhadap tuduhan dibuat individu terbabit.

Katanya, dengan cara memaparkan pesanan DM itu ke laman sosial sudah cukup menjadi satu peringatan kepada individu terbabit.

“Kalau boleh, saya tidak mahu cerita apa-apa mengenai perkahwinan saya. Maaf ya!

“Dan rasanya tidak perlu ambil tindakan lagi, saya dah malukan dia secara umum.

“Suami saya curang atau tidak, bukan masalah sesiapa. Saya sendiri akan uruskan," katanya ringkas.

Sakinah dan suaminya mendirikan rumah tangga pada Mac 2015 dan memiliki seorang cahaya mata yang berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 6:33 PM