BTS
Georgie Joseph

Setiap perkhabaran membabitkan kumpulan nyanyian Korea Selatan, BTS, ibarat magnet yang menarik perhatian peminat seluruh dunia.

Terbaru, kumpulan dianggotai Jin, J-Hope, RM, Suga, Jimin, V dan Jungkook itu bakal melakar satu lagi rekod mengagumkan dalam kembara seni mereka. Mereka kumpulan idola pertama mendapat penghormatan Grevin Wax Museum, Seoul yang mempamerkan patung lilin tokoh tersohor negara itu.

Perkara itu didedahkan sendiri pengendali premis tumpuan ramai berkenaan dengan mengatakan ada perbincangan bagi merealisasikan projek terbabit.

“Memang sudah ada cakap-cakap untuk menghasilkan model BTS. Disebabkan ada tujuh anggota, perkara ini masih dalam perbincangan,” katanya, sebelum menambah, proses itu tidak mudah dan mengambil masa yang sangat panjang. Begitu juga kos pembikinannya yang sangat tinggi.

“Disebabkan projek ini akan ambil masa dan kosnya besar, perbincangan menyeluruh harus dilakukan sebelum memulakannya. Walaupun susah untuk menetapkan kos sebenar, satu patung lilin dianggarkan menelan belanja RM253,000 ke RM358,000 dan mengambil masa setahun untuk siap,” katanya.

Muzium itu sangat eksklusif apabila hanya menempatkan figura yang benar-benar layak untuk dipamerkan.

Sebelum ini beberapa selebriti Korea Selatan mendapat penghormatan terbabit berdasarkan pencapaian hebat mereka dalam industri. Selain itu, kekuatan profil turut menjadi kriteria utama.

Selebriti berkenaan ialah ikon muzik dan fesyen berpengaruh G-Dragon, Rain, PSY dan Yoo Jae Suk. Hanya empat figura solo yang berjaya melepasi kriteria ditetapkan setakat ini.

Dan, jika patung lilin BTS dipamerkan di sana, kumpulan itu akan melakar sejarah besar dalam gelanggang seni Korea Selatan. Berbanding muzium patung lilin lain di dunia, Grevin Wax Museum sangat terkenal dengan patung yang sungguh sempurna dan tampak benar-benar bagai manusia hidup.

Jika perancangan berkenaan menjadi kenyataan, tentu sekali ia menjadi perkara besar buat peminat BTS. Meskipun, tidak berpeluang berjumpa secara langsung dengan anggota BTS, memadai buat mereka bergambar dengan patung lilin berkenaan.

Pada masa sama, ramai peminat berharap patung lilin berkenaan dihasilkan dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 1:46 AM