UQASHA ketika hadir pada majlis pratonton filem Hantu Kak Limah di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, malam tadi. (gambar kiri). Uqasha bersama Ben Amir (gambar kanan). FOTO Mahzir Mat Isa dan IG Uqasha.
Ramlah Zainal


“SAYA sangat selesa berkawan dengan Ben kerana apabila bersama dengannya, saya boleh menjadi diri sendiri.

“Kami masih dalam proses mengenali hati budi. Doakanlah yang baik-baik ya,” kata pelakon popular Uqasha Senrose ketika mengulas mengenai hubungannya dengan pelakon Ben Amir yang hangat diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, dia tidak perlu berhias berlebihan jika keluar dengan Ben berbanding hubungannya dengan lelaki lain sebelum ini.

“Biasalah, kalau kita sukakan seseorang, kita akan sentiasa cuba bergaya untuk buat dia tertarik.

“Namun, apabila dengan Ben, penampilan saya sangat ringkas dan dia tidak merungut pun,” katanya.

Uqasha ditemui pada majlis pratonton filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid yang berlangsung di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada masa sama, Uqasha meminta diberi ruang untuk dirinya menjalani kehidupan sama seperti orang lain dalam soal cinta.

“Selama sembilan bulan saya berdiam diri tanpa ada cerita yang mengaitkan saya dengan mana-mana lelaki pun.

“Jadi, apa salahnya saya beri peluang kepada diri sendiri untuk kenal orang baru pula,” katanya.

Uqasha berkata, dia tidak menjangka akan bertemu semula dengan pelakon drama Air Mata Di Bumi Matador itu dan berkawan rapat dengannya seperti sekarang.

“Perkara itu berlaku tanpa dirancang. Saya bertemu semula dengan Ben selepas dia berlakon dengan adik saya, Nelydia.

“Kami terus berkawan rapat selepas menyedari ada keserasian antara kami berdua,” katanya.

Terdahulu, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu mula mengenali Ben, kira-kira lima tahun lalu.

Pelbagai pihak mula membuat spekulasi mengenai kemesraan mereka berdua kerana sering memuat naik gambar bersama di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:05 PM