AMAR bersama Ellika sebagai Raja Abdullah dan Puteri Saadong.
Ridzuan Abdul Rahman

[email protected] hmetro.com.my

Impian pelakon Amar Asyraf untuk membawa watak Raja Lumu dalam bangsawan Putera La Galigo tidak kesampaian apabila pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 16 Disember 2016 ditunda.

Bagaimanapun, Amar, 33, gembira kerana dapat melunaskan impian berlakon teater bangsawan menerusi pementasan Puteri Saadong yang berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), baru-baru ini.

Dia melakonkan watak Raja Abdullah, suami kepada Puteri Saadong lakonan Ellika Azman.

“Ia ibarat penebus kekecewaan terhadap bangsawan Putera La Galigo. Persediaan sudah dibuat tapi tiada rezeki untuk pementasan.

“Alhamdulillah pengarah Zack Zaideen beri kepercayaan buat saya berlakon dalam Puteri Saadong yang persembahannya berlangsung di Kelantan tahun lalu sebelum terpilih dalam program Semarak Bangsawan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Cuma barisan pelakonnya tak sama kerana kali ini saya bergandingan dengan pelakon lain,” katanya.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan juga dibuat oleh Zack tapi tidak memberi kesan kepadanya yang sudah memahami naskhah ini.

BABAK menarik dalam pementasan.

“Teater ini berasal dari Kelantan dan barisan pelakonnya berlatih di sana. Saya pergi sana hanya beberapa kali untuk berlatih.

“Apabila mereka datang ke sini, kami memang ‘all out’ buat latihan supaya peminat puas hati dengan apa yang ditampilkan.

“Saya terpilih berlakon kerana kebetulan pengurus pentas sama-sama belajar di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Dia yang mencadangkan nama saya kepada Zack,” katanya.

Amar menafikan dirinya ‘demand’ dan dibayar mahal kerana dia sememangnya meminati genre teater.

“Apa-apa saja perkara berkaitan teater, saya boleh bertolak ansur. Tambah lagi saya sendiri mengajar teater di Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kuala Lumpur sekarang.

“Kali terakhir saya berlakon teater pun dalam teater Memali terbitan produksi sendiri pada 2012. Itulah sebabnya saya teruja apabila ditawarkan berlakon.

“Saya lama kenal Zack di pentas teater dan ini kali pertama berlakon dengannya. Dia seorang pengarah yang baik dan banyak membantu,” katanya.

Menurut Amar, dia menghormati Zack kerana bukan mudah sebenarnya untuk mementaskan bangsawan.

“Secara jujurnya saya tak sehebat Zack yang sangat komited dengan kariernya. Dia buat semuanya seorang dalam pelbagai perkara merangkumi antaranya set kostum dan rekaan pakaian.

“Saya perlu lebih banyak belajar sekiranya nak pentaskan bangsawan,” katanya.

AMAR makin aktif dalam teater.

Sementara itu, Zack atau nama sebenarnya Muhamad Zaidin Husin, 50, memuji komitmen Amar dalam teater ini.

“Saya seronok kerana dia tidak meletakkan namanya sebagai pelakon popular yang perlu diberikan layanan hebat.

“Dia sanggup tidur atas lantai ketika latihan seperti pelakon lain dan suka berterus terang meluahkan pendapatnya untuk sesuatu perkara,” katanya.

Bagi mencantikkan teater bangsawannya, Zack sanggup mengeluarkan bajet sendiri RM20,000, selain mendapat dana daripada JKKN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:00 AM