HAZAMA (kiri) dan Noryn.
Norhayati Nordin

Walaupun nyanyian sudah sebati dengan jiwa mereka, untuk digandingkan sebagai rakan duet bukan boleh diambil mudah.

Menyanyi duet perlukan alunan paduan vokal yang serasi dan inilah ‘masalah’ utama dibimbangi Hazama Azmi, 34, dan Noryn Aziz, 42.

Ditemui baru-baru ini, kedua-duanya agak terkejut apabila komposer berkaliber, Ajai memberitahu ada lagu duet berjudul Percayakan Hati Kita untuk dirakamkan mereka bersama.

Menurut Hazama, sebaik mendapat tahu merakam lagu duet itu dengan Noryn, dia terus bertanya kepada Ajai untuk penjelasan.

“Ini kerana sudah tentu genre muzik saya dan Noryn berbeza. Oleh itu, apakah gandingan kali pertama kami berjaya?

“Noryn memang dikenali dengan muzik R&B dan jazz, manakala saya pula lebih cenderung kepada rock dan pop. Perbezaan genre muzik kami agak ketara.

“Saya tidak dapat membayangkan akan jadi lagu apa sekiranya penyanyi R&B dan jazz serta rock disatukan. Saya bimbang lagu itu akan rosak kerana saya begitu menjaga kualiti dan perlu siap sedia bertanggungjawab jika apa-apa berlaku,” katanya.

Ditanya apakah dia meragui keputusan Ajai, penyanyi lagu Relakan Jiwa dan Di Amaran Mama ini menafikannya.

“Saya tidak ragu dengan Ajai, tetapi kurang yakin dengan diri sendiri. Apatah lagi, saya belum pernah bekerjasama dengan Noryn yang dikagumi bakatnya menyanyikan lagu R&B jazz.

“Terus terang, saya utamakan hasil terbaik untuk sesuatu produk seni. Apatah lagi lagu Percayakan Hati Kita itu adalah duet pertama saya dengan penyanyi lain.

“Selama ini, saya menyanyi solo saja. Saya tidak mudah buat keputusan untuk nyanyi duet, tetapi melodi dan lirik lagu Percayakan Hati Kita berjaya menarik perhatian kerana saya sangat sukakannya.

“Sukar untuk saya tolak dan inilah masanya mencabar diri dan cuba buktikan paduan vokal saya dan Noryn sebenarnya boleh bersatu dalam lagu.

“Saya tahu Ajai juga mempunyai keyakinan itu dan tidak ada sebab untuk tolak peluang diberikan. Pada saya, lebih baik cuba dulu untuk lihat hasilnya

“Kini, saya gembira dengan hasil gandingan Ajai untuk saya dan Noryn menyanyikan lagu Percayakan Hati Kita sebagai pilihan tepat. Harapan saya, semoga pendengar terhibur,” katanya.

Menurut Hazama, dia juga selesa bekerja dengan Ajai kerana komposer terkenal itu seorang yang komited dan tahu apa arah tuju dilakukannya untuk seseorang penyanyi.

Tak kisah dilabel tumpang populariti Hazama

Selama dua dekad bergelar penyanyi, Noryn akui namanya belum benar-benar terpahat kukuh di hati peminat muzik tanah air.

Apatah lagi, Noryn tidak mempunyai banyak lagu popular untuk terus diingati peminat kecuali Fantasi O Realiti dalam album solo pertamanya pada 1997.

“Mungkin juga genre muzik saya, R&B dan jazz itu yang membuatkan sukar untuk kebanyakan lagu dirakamkan melekat di hati peminat muzik.

“Saya mampu bertahan hingga kini kerana tawaran persembahan menyanyi masih diterima. Cuma, untuk lagu popular saya di hati peminat itu kurang.

“Jadi untuk ‘comeback’ terbaru ini, saya sekadar ambil peluang diberikan Ajai untuk merakamkan lagu duet Percayakan Hati Kita bersama Hazama.

“Tidak dinafikan, saya kurang yakin pada mulanya dengan hasil gandingan ini tetapi selepas mendengar semula rakamannya, kami berjaya.

“Saya berterima kasih kepada Ajai kerana sentiasa memberi peluang. Saya juga kagum dengan lontaran vokal Hazama,” katanya.

Ditanya apakah dia sudah sedia jika dilabel ‘menumpang’ nama dan populariti Hazama, ibu seorang anak ini tidak kisah apa yang orang nak kata.

“Saya tak peduli dengan apa tanggapan orang. Pada saya, yang penting saya bersyukur dapat merakamkan lagu duet sebagai ‘comeback’ terbaru.

“Apatah lagi, saya lebih selesa melihat dan berfikir positif. Ini karier yang saya minat dan nyanyian pun sudah sebati dalam kehidupan saya.

“Bukan mudah mendapatkan lagu yang baik terutama duet. Kini lagu Percayakan Hati Kita menjadi percaturan baru yang saya pertaruhkan untuk karier nyanyian ini.

“Harapan saya, semoga lagu Percayakan Hati Kita diterima baik pendengar muzik tanah air walaupun ia lagu runut bunyi (OST) untuk filem Kalla: Hidup Atau Mati,” katanya.

Berbicara mengenai peribadinya, Noryn berkata, dia perlu bijak membahagi masa untuk fokus pada anak tunggalnya, Raja Bariq Umar Shah berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 1:59 PM