TAUFIK Hanafi. FOTO NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


PELAKON Taufik Hanafi, 27, akui isu dibangkitkan Hairul Azreen berkaitan hampir menjadi mangsa penculikan lanun ketika penggambaran filem Paskal pada Mac lalu, turut memberi kesan kepadanya.

"Isu itu beri kesan kepada saya apabila muat naik sesuatu di laman sosial berkaitan promosi filem itu, orang kerap bertanya mengenai isu itu berbanding pasal filem Paskal sendiri.

"Kami hanya jalankan tugas sebagai pelakon saja dan saya difahamkan Hairul dan Ammar sudah pun bertemu dengan Esscom bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu," kata Taufik.

Bagaimanapun katanya, antara kebaikan perkara itu dibangkitkan, masyarakat mula buka mata pada kewujudan filem Paskal yang akan ditayangkan pada 27 September depan.

Taufik yang memegang watak Ustaz dalam Paskal akui kerana satu isu yang disifatkan negatif, ramai melupakan objektif sebenar filem itu yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Tidak mahulah apabila timbul isu berkaitan akan beri kesan kepada filem Paskal.

"Kebanyakan masyarakat sudah meletak penanda aras terhadap filem ketenteraan sebelum ini, jadi kami nak ubah," katanya.

Filem Paskal arahan Adrian Teh turut dibarisi pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Nam Ron, Amirol Affendy, Hafizul Kamal, Datuk Seri Eizlan Yusof dan pelakon baru, Theban.

Filem Paskal turut ditayangkan di China dan Turki dijangka pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 5:15 PM