NABIL. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


"Ayat 'bawa dia kat Caliph Buskers, diorang tak tau' bukan bertujuan untuk menghina mereka.

“Ia hanya gurauan yang disalah anggap segelintir pihak," kata pelawak dan pengacara Nabil Ahmad mengenai video yang memaparkan dia mengarahkan 'hantu' yang muncul pada program MeleTop supaya pergi kepada kumpulan itu yang juga pemuzik iringan rancangan itu.

Nabil, 35, atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad ketika dihubungi berkata, tindakannya itu sekadar mengusik.

Menurut Nabil, dia mengambil pendekatan untuk tidak ambil pusing mengenai perkara itu kerana beranggapan ia sengaja dibangkitkan pihak tertentu.

"Caliph Buskers sudah bersama saya dan program ini selama enam tahun. Jadi kami sudah biasa dan faham cara kerja masing-masing.

"Memandangkan mereka sebahagian daripada program ini, jadi saya kena gunakan mereka juga. Sekurang-kurangnya mereka tahu apa yang berlaku di set. Bagi saya, tidak ada apa yang salah pada ayat itu.

"Hanya mereka yang berfikir negatif dan kebudak-budakan saja menganggap ia keterlaluan. Lagi satu, kenapa tidak salahkan orang lain yang turut ketawa?" katanya kepada Harian Metro.

Nabil berkata, dia juga pelik kenapa video itu ditularkan hari ini sedangkan program itu berlangsung kelmarin.

"Saya menganggap ini sebahagian daripada promosi filem ini yang mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini.

"Kalau betul nak tularkan, kenapa bukan kelmarin atau semalam? Sebab selalunya begitu," katanya.

Hantu yang muncul pada program itu adalah gimik bagi mempromosikan filem Langsuir yang turut menampilkan pelakon Syafiq Kyle sebagai tetamu jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 1:46 PM