Fauziah mahu kongsi ilmu dengan anak-anak didiknya. FOTO Facebook/Fauziah Nawi
Fauziah mahu kongsi ilmu dengan anak-anak didiknya. FOTO Facebook/Fauziah Nawi
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON veteran Fauziah Nawi yang menerima Ijazah Sarjana daripada Open University Malaysia (OUM), Ahad lalu mengajak penggiat seni generasi baru supaya tidak berhenti belajar dan menimba ilmu.

Fauziah, 65, yang sebelum ini menggunakan pengalaman dalam menurunkan ilmu kepada anak didiknya kini memiliki pengiktirafan sah yang lebih bersistem.

“Saya sudah berada di dalam industri hiburan sejak puluhan tahun lalu. Jadi, saya gunakan pengalaman saya untuk mendidik mereka yang ingin bekerja dalam bidang ini.

“Apabila diberikan pengiktirafan oleh OUM dalam bidang Industri Kreatif, semuanya akan jadi lebih bersistem berbanding sebelum ini. Saya mahu penggiat seni generasi baru supaya tidak berhenti menuntut ilmu selagi terdaya,” katanya kepada Harian Metro.

Fauziah ketika menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Industri Kreatif (Seni Lakon) daripada OUM, baru-baru ini. FOTO Facebook/Fauziah Nawi
Fauziah ketika menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Industri Kreatif (Seni Lakon) daripada OUM, baru-baru ini. FOTO Facebook/Fauziah Nawi

Menurut Fauziah, pengiktirafan ini juga memberikannya taksiran harga yang lebih berpatutan sebagai tenaga pengajar berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini saya pernah mengajar di beberapa IPT (Institusi Pengajian Tinggi), tetapi bayaran yang saya terima tidak sama seperti mereka yang memiliki sijil pengiktirafan kerana saya cuma ada pengalaman.

“Jadi, selepas adanya pengiktirafan ini, bayaran yang diberikan kepada saya akan lebih berpatutan berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam usaha memperoleh ijazah berkenaan, Fauziah bersama 19 penggiat seni lain diberikan beberapa tugasan dan berkampung selama tiga hari menyiapkan pembentangan, projek dan kertas kerja modul.

“Mujur saya sudah ada pengalaman mengajar, jadi tak terlalu sukar untuk saya. Cuma, apabila diterjemahkan semua pengalaman itu dalam bentuk penulisan, ia nampak lebih bersistem,” katanya.

Dalam masa sama, Fauziah mengucapkan terima kasih kepada pihak OUM dan keluarganya yang sentiasa menyokong setiap apa dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 2:04 PM